PANTU: Setiap individu mempunyai kemahirannya sama ada daripada segi bidang pertukangan kayu, kraftangan, permainan, sukan, keseniaan dan sebagainya dalam diri masing-masing.
Namun tidak ramai belia muda pada masa sekarang yang mempunyai kemahiran menghasilkan bahagian hulu parang yang ternyata bukan menjadi minat sebahagian besar golongan berkenaan di negeri ini.
Untuk itu Utusan Sarawak berkesempatan menemu bual seorang belia yang lebih mesra dikenali sebagai Atek, 28, ketika melawat sanak saudaranya di Rumah Hearold, Selantik Ili, Pantu berhubung kemahiran tersebut.
“Lazimnya semua orang akan beranggapan bahawa cuma golongan berumur sahaja yang sudah berpengalaman dalam menghasilkan bahagian hulu parang sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.
“Anggapan itu salah kerana saya yang masih muda ini juga sudah menguasai kemahiran menghasilkan bahagian hulu parang asalkan kita rajin dan kerap menimba ilmu bidang tersebut dari masa ke semasa,” katanya.
Atek turut memberitahu beliau sering menjadikan Pokok Cempedak sebagai pilihan utama untuk menghasilkan bahagian hulu parang.
Walaupun nampak seperti ringkas namun kerja menghasilkan hulu parang kata beliau memerlukan penelitian yang tinggi kerana ia akan menentukan keselesaan pengguna itu sendiri ketika menggunakan parang.
“Kerja menghasilkan bahagian hulu parang tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Jika mahu memiliki sebuah parang yang baik maka bahagian hulu parang perlu diadun dengan lebih baik agar ia selesa digunakan kelak,” katanya.
Atek bagaimanapun belum menyimpan niat untuk menceburkan diri secara 100 peratus dalam bidang menghasilkan bahagian hulu parang buat masa kini.
“Setakat ini saya menganggap ia sebagai satu minat. Jika mempunyai masa lapang saya akan melakukan kerja seperti ini termasuk kerja-kerja pertukangan yang lain,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG