PERSATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) telah memberikan pengesahan mereka untuk membantu program latihan perenang negara Phee Jinq En bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
Setiausaha Kehormat ASUM Mae Chen berkata, badan kebangsaan itu akan membantu perenang berusia 22 tahun itu dari segi bantuan kewangan, selain membantu perenang kuak dada itu merancang program latihan dan mendapatkan visa sukan dari Amerika Syarikat.
Beliau berkata, juara Sukan SEA kuak dada 50 meter (m) dan 100m itu, pada awalnya bertolak pada September, tetapi memutuskan untuk menangguhkannya sehingga Disember atau Januari kerana Covid-19 yang masih belum selesai di Amerika Syarikat.
“Harapannya pada masa beliau berjaya dapat visa sukannya, keadaan adalah lebih baik di Amerika. Beliau berhasrat untuk mengikuti jurulatihnya dia sana (John Klinge) bagi mendapatkan tiket ke Tokyo 2020 kerana beliau amat hampir dengan kelayakan Kategori A.
“Kewangan untuk latihan, akan ditanggung kami. Dari segi kewangan, ia bukanlah satu isu untuk program Road to Tokyo (RTT) dan atlet elit, mereka semua disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) semalam.
Jinq En, graduan universiti Purdue, telah melepasi masa 1:09.08s iaitu masa kelayakan B ketika beliau memecahkan rekod kebangsaan dengan masa 1:08.50s pada Sukan SEA 2019, tetapi pada ketika ini mahu memastikan tempatnya dengan mencatatkan masa 1:07.07s, iaitu masa kelayakan A.
Sementara itu Mae Chen berkata, ASUM akan menganjurkan kejohanan renang tempatan dengan menyasarkan tiga kategori umur iaitu, 13-14, 15-16 dan terbuka, yang akan diadakan pada Oktober.
ASUM juga bercadang untuk menganjurkan pertandingan terjun dalam negara awal November, sebagai pemanas badan dan persediaan bagi penerjun untuk mendapatkan kejohanan sebelum Piala Dunia dari 23-28 Feb tahun depan di Tokyo.
Kejohanan dunia itu yang dijadualkan pada 21-26 April 2020, akan menjadi kejohanan terakhir untuk atlet terjun melayakkan diri ke Olimpik.
“Pada masa ini, kita ada empat atlet wanita (Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee dan Leong Mun Yee), kami berharap, beberapa atlet lelaki dan Cheong Jun Hoong akan dapat layak,” katanya.
Mengenai pertandingan secara maya dengan negara yang mempunyai zon masa yang sama termasuk antaranya New Zealang dan Austrilia, Mae Chen berkata ASUM dalam perbincangan dengan Perbadanan Stadium Negara bagi meningkatkan fasiliti internet sebelum kejohanan pada November, selepas menghadapi masalah internet pada ujian bersama Australia baru-baru ini.
Beliau turut mendedahkan beberapa atlet termasuk atlet elit, telah mengalami peningkatan berat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19, namun telah menunjukkan progress dan kini kembali seperti seida kala.- Bernama