
LONDON: Aston Villa mengumumkan ketibaan bintang Piala Dunia Switzerland, Johan Manzambi, daripada kelab Jerman, Freiburg, dengan yuran perpindahan yang dilaporkan melebihi £50 juta (AS$67 juta/RM274.4 juta), sekali gus menjadi rekod perpindahan tertinggi kelab itu.
Pemain tengah berusia 20 tahun itu menyertai Villa selepas mempamerkan aksi cemerlang di Piala Dunia apabila meledak tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam empat perlawanan sebelum mengalami kecederaan.
Switzerland mara ke suku akhir Piala Dunia sebelum tewas kepada finalis, Argentina.
Manzambi turut memainkan peranan penting membantu Freiburg mara ke final Liga Europa, namun mereka tewas kepada Aston Villa.
Pemain muda itu, yang turut menjadi sasaran Newcastle United, dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Europa musim ini dan menjadi pembelian pertama Villa pada jendela perpindahan musim panas.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk bermain bersama kelab ini,” kata Manzambi kepada media kelab.
“Ini sebuah kelab yang sangat besar di England dan mereka akan beraksi dalam Liga Juara-Juara. Saya pernah menentang Aston Villa sebelum ini dan bagi saya, ini adalah pilihan yang tepat.
“Saya berharap dapat mempamerkan prestasi sama seperti di Piala Dunia dan bersama Freiburg.”
Villa juga dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan pemain tengah Wolverhampton Wanderers, Joao Gomes.
Pengurus Unai Emery memerlukan tambahan pemain di bahagian tengah selepas menjual Youri Tielemans kepada Manchester United dengan nilai £35 juta. — AFP




