WASHINGTON: Asteroid baharu dikesan dan hampir sebesar padang bola sepak dijangka memiliki peluang lebih satu peratus untuk bertembung bumi beberapa tahun lagi.
Asteroid dikenali 2024 YR4, pertama kali dikesan Balai Cerap El Sauce di Chile pada 27 Disember lalu, dengan ahli astronomi menganggarkan saiz antara 40 hingga 90 meter lebar, mengikut tahap kecerahannya.
Kiraan terkini Makmal Perenjangan Jet Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), meramalkan peluang 1.6 peratus 2024 YR4 akan melanggar bumi pada 22 Disember 2032.
Pertembungan itu dijangka mengakibatkan letupan berskala besar yang melepaskan tenaga ratusan kali ganda, berbanding bom nuklear di Hiroshima.
Letupan daripada letusan udara bagi 2024 YR4 diramal setara dengan hampir lapan megaton trinitrotoluena (TNT), lebih 500 kali ganda kuasa bom Hiroshima.
Kesannya dijangka kurang membimbangkan sekiranya meletup di lautan, kecuali jika ia berlaku berhampiran pantai yang boleh mencetuskan tsunami.
Ia juga diramal menghasilkan sinaran menyilaukan, hampir seterang cahaya matahari serta gelombang kejut yang cukup kuat untuk memusnahkan segala-galanya bagi kawasan seluas beberapa kilometer (km).
Impak pertembungan itu berpotensi menyebabkan kemusnahan seluas satu bandar, bergantung lokasi ia berlaku.
Perkembangan mengenai objek membimbangkan itu sudah dimaklumkan kepada pegawai pertahanan planet sementara di NASA, Kelly Fast, menjelang malam tahun baharu.
Penilaian risiko mengenai pertembungan terbabit terus meningkat dan Rangkaian Amaran Asteroid Antarabangsa sudah mengeluarkan memo berkaitan lokasi diramal berdepan insiden itu, Rabu lalu.
Antara lokasi diramal mengalami impak pertembungan itu termasuk kawasan atas di timur Lautan Pasifik, utara Amerika Selatan, Lautan Atlantik, Afrika, Laut Arab dan Asia Selatan.
2024 YR4 mengelilingi orbit elips yang sangat panjang, dengan tempoh empat tahun, melintasi planet dalam sebelum melepasi Marikh dan bergerak menuju ke Musytari.
Ketua saintis The Planetary Society, Bruce Betts, mengakui keadaan itu belum menimbulkan panik dalam kalangan kumpulan saintis, namun kekal memantau perkembangannya dengan teliti.
“Perhatian ketika ini perlu diberikan sepenuhnya untuk mengumpulkan sumber sebanyak mungkin untuk memantau (asteroid berkenaan),” katanya.
Kesan asteroid paling popular berlaku 66 juta tahun lalu, apabila batu angkasa selebar 9.66km mencetuskan musim sejuk global, memusnahkan dinosaur dan 75 peratus daripada semua spesies.
Sebagai perbandingan, 2024 YR4 tergolong dalam kategori ‘pemusnah bandar’. – AFP