
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, bersama ahli keluarga, telah menghadiri Kursus Persediaan Menunaikan Ibadah Haji yang diadakan di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, pagi, semalam.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang akan menyertai rombongan haji tersebut sebagai Menteri Pengiring, bersama isteri, Datin Zuriani Abdul Jaabar.
Kursus yang bermula seawal 8.30 pagi itu memberi penekanan kepada aspek teori ibadah haji, meliputi rukun, kewajipan, serta tatacara pelaksanaannya.
Menurut jurucakap Astana Negeri Sarawak menerusi perkongsian di platform media sosial rasminya, sesi ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan persediaan rohani para peserta sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Selepas sesi makan tengah hari, katanya, kursus diteruskan dengan latihan praktikal yang memfokuskan kepada pelaksanaan ibadah haji secara langkah demi langkah.
Program, ujarnya, dijalankan sepenuhnya di lokasi yang sama dan berlangsung dengan lancar serta mendapat sambutan yang menggalakkan.
Kursus ini, kata jurucakap lagi, dikendalikan oleh Ustaz Ramzen bin Ambi, Ketua Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Pembimbing Kursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA), dan Ustazah Rogayah Chek, Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS, dengan dibantu oleh pasukan fasilitator dari Lembaga Tabung Haji Malaysia Cawangan Sarawak.
Dalam program tersebut, Tun Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur dan tenaga pengajar atas penganjuran kursus ini, serta menyatakan harapan agar segala ilmu dan panduan yang diperoleh dapat membantu beliau dan rombongan menunaikan ibadah haji dengan sempurna serta diterima Allah SWT sebagai haji yang mabrur.