
KUCHING: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) meraikan kejayaan Mohamad Azhar Al-Imran, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari Universiti Alexandria, Mesir, sebagai penerima Insentif Kecemerlangan Pelajaran Amanah Saham Sarawak (ASSAR).
Ketua Pegawai Eksekutif ASSB, Datin Norlia Madon berkata, pencapaian Azhar menjadi bukti bagaimana Akaun Pendidikan ASSAR bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan, malah turut menjadi dorongan kepada anak-anak Sarawak untuk mengekalkan kecemerlangan akademik.
“Insentif ini diwujudkan sebagai galakan kepada pelajar di setiap peringkat pendidikan. Ia sebahagian daripada usaha ASSB untuk memastikan generasi muda Sarawak terus melakar kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Akaun Pendidikan ASSAR menawarkan insentif dalam bentuk tunai kepada pelajar cemerlang yang layak. Bagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar yang memperoleh 8A ke atas layak menerima RM1,500 manakala keputusan sekurang-kurangnya 6A, termasuk lulus gred A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik, menerima RM1,000.
Di peringkat Diploma, insentif diberikan mengikut Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) iaitu RM2,000 bagi PNGK 3.50 hingga 4.00, manakala PNGK 3.00 hingga 3.49 menerima RM1,000.
Untuk graduan Ijazah Sarjana Muda, pencapaian Kelas Pertama layak menerima RM2,000 manakala Kelas Kedua menerima RM1,000.
ASSB turut mengingatkan pelabur Akaun Pendidikan ASSAR supaya mengemukakan tuntutan insentif dalam tempoh tiga bulan selepas menerima keputusan peperiksaan atau tarikh konvokesyen.
Dalam pada itu, ASSB memaklumkan bahawa Laporan Tahunan Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 kini boleh diakses dan dimuat turun melalui laman sesawang rasmi [www.assar.com.my](http://www.assar.com.my).
Selain itu, penyata pengagihan dividen bagi tahun kewangan sama telah dihantar melalui Pos Malaysia kepada lebih 57,000 pelabur ASSAR. Pelabur yang memerlukan salinan bercetak Laporan Tahunan boleh mendapatkannya di kaunter ASSAR Kuching atau membuat permohonan melalui e-mel ke [assar@assar.com.my](mailto:assar@assar.com.my).
Untuk maklumat lanjut, para pelabur boleh menghubungi pejabat ASSB di talian 082-231433 atau 019-3461433 / 019-8491433.