
PAKAN: Ibu bapa disaran menggalakkan anak-anak tinggal di asrama sekolah kerana kemudahan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi akademik, malah membentuk disiplin dan sikap berdikari dalam kalangan murid.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan bagi memastikan kebajikan murid yang tinggal di asrama sentiasa terjaga serta menyokong perkembangan pendidikan mereka.
“Saya ingin menyatakan bahawa murid perlu digalakkan untuk tinggal di asrama walaupun rumah mereka berdekatan kerana pelbagai kemudahan dan bantuan telah disediakan oleh kerajaan bagi memastikan kesejahteraan dan perkembangan pendidikan mereka terjaga.
“Kerajaan memperuntukkan elaun makanan dan minuman sebanyak RM28 sehari bagi setiap murid yang bermalam di asrama. Jika dikira sepanjang tahun persekolahan, jumlahnya boleh mencecah sehingga RM4,800 seorang setahun.
“Peruntukan tersebut merupakan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban keluarga serta menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada murid-murid,” katanya ketika berucap di Program Gawai Dayak Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Pedanum, baru-baru ini.
Tambahnya, penggunaan kemudahan asrama yang optimum penting bagi memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan tinggal di asrama dapat membantu murid menyesuaikan diri dengan kehidupan berdisiplin melalui rutin harian yang lebih teratur.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa memainkan peranan dengan menggalakkan anak-anak tinggal di asrama.
Tambahnya, keadaan asrama dan kemudahan sekolah kini lebih baik hasil usaha penambahbaikan oleh kerajaan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan geran berjumlah RM18,000 kepada SK Ulu Pedanum bagi menyokong aktiviti dan pembangunan sekolah.
Bantuan geran turut disampaikan kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), termasuk JKKK Rumah James Asang, JKKK Rumah Panjing Pedanum, JKKK Rumah Kapat, JKKK Rumah Gumba Pedanum, JKKK Rumah Likik Ulu Pedanum, Biro Wanita Rumah James Asang, Starlink Rumah James Asang serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.
Jumlah keseluruhan dana yang disalurkan dalam program tersebut ialah RM118,200 bagi tujuan pembangunan pendidikan dan kebajikan masyarakat luar bandar di kawasan Ulu Pedanum.
Oleh Earl Anek