LIMBANG: Pihak Majlis Daerah Limbang (MDL) akan menambah baik aspek keselamatan kawasan tapak projek rakyat bagi menaiktaraf tebingan Sungai Limbang Fasa 3, berhampiran Bangunan Tamu Limbang yang sedang dilaksanakan sekarang.
Wali Kota MDL Kaunselor Sufian Mohat, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak konsultan dan juga kontraktor untuk menyediakan sedikit keperluan yang berkait rapat dengan soal keselamatan di kawasan berkenaan.
“Antaranya berkaitan dengan soal kawasan yang ditempatkan sebagai jeti untuk diguna pakai oleh orang ramai membawa barangan, di tambah baik dari segi pencahayaan terutama pada sebelah waktu malam,”katanya kepada media hari ini.
Sufian mengulas aduan orang ramai mengenai tahap keselamatan mereka yang melalui kawasan projek setiap hari susulan kedudukan projek yang berdekatan dengan Bangunan Tamu Limbang.
Katanya, aspek keselamatan melibatkan masyarakat dan peniaga di bangunan tamu berkenaan akan ditambahbaik memandangkan kerja pembinaan projek sedang dilakukan selepas tapak projek diserahkan kepada pihak konsultan dan kontraktor sejak September tahun lalu.
“Kita di peringkat majlis amat menitikberatkan soal keselamatan orang awam yang menguna pakai atau hendak melalui kawasan tersebut kerana kita sedia maklum kawasan itu telahpun diserahkan kepada pihak konsultan atau kontraktor.
“ Sebenarnya kawasan itu tidak boleh dilalui atau diguna pakai untuk sementara waktu selagi projek masih berjalan disebabkan oleh kawasan itu tidak ada akses.
“Namun, kita ada menempatkan beberapa lokasi berhampiran dengan kawasan tebingan sungai untuk orang ramai guna sebagai tempat memunggah barang,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai, peniaga dan penduduk berhampiran untuk meningkatkan aspek keselamatan di kawasan itu dengan hanya menggunakan laluan dan kawasan yang dibenarkan saja, bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.
Projek naik tarag Tebingan Sungai Limbang Fasa 3 dengan kos RM27.4 juta merupakan projek kerajaan Sarawak.
Ia bermula pada September tahun lalu dan dijangka siap 2024.
Oleh ADENG EDRUS