
BANGI: Asia berperanan penting dalam memacu inovasi dan pertumbuhan mampan bagi peralihan tenaga, kata Naib Presiden Kelestarian Korporat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Charlotte Wolff-Bye.
Sehubungan itu, beliau berkata wujud keperluan kritikal bagi jalinan kerjasama global untuk mempercepat peralihan tenaga.
“Kita berbicara mengenai perubahan iklim walaupun ini bukan teras kecekapan bagi sektor minyak dan gas. Jelas sekali, kita perlu menjalin kerjasama rentas sektor dengan pihak akademia, pertubuhan bukan berasaskan keuntungan serta melangkaui sempadan.
“Ini adalah satu isu global dan pada masa sama merupakan peluang di peringkat global. Oleh itu, kita perlu bekerjasama,” katanya kepada pemberita pada program media mengenai peralihan tenaga dan kelestarian di sini, hari ini.
Program anjuran Petronas itu adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Persidangan Energy Asia 2025 pada 16 hingga 18 Jun, 2025.
Wolff-Bye berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai kepentingan kerjasama antara China dan Malaysia serta China dan ASEAN dalam usaha peralihan tenaga.
Menjelaskan selanjutnya, beliau berkata China juga memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga, bukan kerana kedudukannya sebagai penyumbang pelepasan karbon terbesar dunia, tetapi prospek negara itu dalam usaha penyahkarbonan.
“Sudah pasti, terdapat banyak inovasi dan skala ekonomi yang positif dihasilkan China dari segi tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik dan sebagainya. Kita semua turut mendapat manfaatnya,” katanya.
Wolff-Bye juga mengingatkan kepentingan setiap negara untuk memainkan peranan masing-masing walaupun berdepan perbezaan trajektori dan tekanan politik.
Malaysia, sebaliknya berada dalam kedudukan baik untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan China dan pemain serantau lain dalam usaha memajukan matlamat kelestarian.
“Kita menjalin kerjasama kukuh dengan China, dan negara-negara lain juga mempunyai kerjasama erat dengan rakan-rakan kita di China. Bagi saya, peluang baik untuk kerjasama dan inovasi selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata Petronas juga telah memeterai beberapa memorandum persefahaman dengan pelbagai rakan di Asia Tenggara, termasuk China bagi menggalakkan penyelidikan dan inovasi.
Pertumbuhan penduduk dan permintaan sumber di Asia semakin meningkat yang turut menekankan keperluan mendesak bagi mengamalkan pendekatan lebih mampan.
“Ini peluang keemasan bagi Asia kerana benua ini terus berkembang dari segi demografi. Aspek ini amat penting, bukan setakat permintaan tenaga tetapi sumber semula jadi, namun kita lagi boleh menggunakan sumber semula jadi seperti dulu,” katanya.
Wolff-Bye berkata aspek keterjaminan tenaga adalah satu mandat teras yang dititikberatkan oleh Petronas, bukan saja untuk negara tetapi juga untuk pelanggannya.
“Atas alasan ini, kita sentiasa memantau perkembangan dalam negara dan bekerjasama erat dengan keseluruhan ekosistem tenaga untuk melihat contoh permintaan tenaga serta menentukan peranan yang perlu dimainkan.
“Petronas juga sedang meneliti jumlah gas domestik yang perlu dihasilkan dan sama ada perlu bergantung kepada import dan sebagainya. Ini adalah sesuatu yang kami pantau dengan teliti kerana berkait rapat dengan matlamat utama kita kerana tidak mungkin ekonomi dapat tumbuh tanpa tenaga,” katanya.
–Bernama