ACEH: Acara bagi mengenang 220,000 mangsa tsunami yang terkorban dua dekad lalu, dijangka diadakan di seluruh Asia, hari ini.
Memorial dan upacara keagamaan di tepi pantai akan diadakan di seluruh Asia di Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand iaitu antara negara yang terjejas teruk.
Pada 26 Disember 2004, gempa bumi berukuran magnitud 9.1 di barat Indonesia melanda pesisir pantai di 14 negara dari Indonesia ke Somalia.
Sejumlah 226,408 orang maut akibat tsunami, menurut EM-DAT, pangkalan data bencana global yang diiktiraf.
Tidak ada amaran tsunami dikeluarkan tsunami menyebabkan ramai tidak mempunyai masa untuk berpindah, namun, iktibar daripada pengalaman pahit itu, kini sudah ada rangkaian stesen pemantauan yang canggih bagi mempercepatkan masa amaran.
Indonesia mencatat angka kematian tertinggi, dengan lebih 160,000 orang terbunuh.
Di wilayah Aceh, orang ramai bertafakur sebelum melawat kubur besar dan solat berjemaah di masjid besar di ibu kota wilayah Banda Aceh.
Bencana itu juga menamatkan konflik pemisah selama beberapa dekad di Aceh, dengan perjanjian damai antara pemberontak dan Jakarta berlaku kurang setahun kemudian.
Di Sri Lanka, di mana lebih 35,000 orang terkorban, mangsa yang terselamat dan saudara-mara berkumpul untuk mengingati kira-kira 1,000 mangsa yang maut apabila ombak kuat menyebabkan gerabak kereta api penumpang terbabas daripada landasan.
Mereka yang berkabung akan menaiki Ocean Queen Express menuju ke Peraliya – tempat di mana gerabak kereta api tergelincir dari landasan, sekitar 90 kilometer (km) di selatan Colombo.
Satu upacara keagamaan ringkas diadakan bersama keluarga mangsa manakala upacara Buddha, Hindu, Kristian dan Islam juga dianjurkan untuk memperingati mangsa di seluruh negara.
Di Thailand, di mana separuh daripada lebih 5,000 yang maut adalah pelancong asing, upacara tidak rasmi dijangka turut diadakan.
Sebuah hotel di wilayah Phang Nga, akan mengadakan pameran tsunami, tayangan dokumentari dan pengenalan oleh badan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesiapsiagaan bencana dan langkah-langkah ketahanan.
Hampir 300 orang terbunuh di Somalia dan lebih 100 di Maldives serta puluhan yang lain di Malaysia serta Myanmar. – AFP