ASEZ tanam 100 pokok Ruellia, bunga raya merah di Kampung Bako Hulu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kumpulan Sukarelawan Pelajar Universiti ASEZ menanam 100 pokok terdiri daripada Ruellia dan bunga raya merah di Kampung Bako Hulu, di sini, dalam usaha menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar serta menangani perubahan iklim.

Aktiviti penanaman pokok itu dianjurkan ASEZ Kuching dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan penyertaan Kelab Alam Sekitar ASCATS (i-CATS).

Aktiviti yang dijalankan pada 19 Jun itu turut disertai kira-kira 50 peserta terdiri daripada ahli ASEZ, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Para sukarelawan menyediakan kawasan penanaman, menggali lubang dan menanam anak pokok dengan memastikan akar pokok dapat tumbuh dengan baik.

Aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada gerakan ‘Karbon Hijau ASEZ’ (AGC) yang memberi tumpuan kepada usaha memperluas karbon hijau yang diserap dan disimpan oleh tumbuhan serta tanah melalui pemeliharaan ekosistem daratan.

Seorang wakil ASEZ berkata, penanaman pokok bukan sahaja membantu meningkatkan penyerapan karbon dan memperbaiki kualiti udara, malah turut menyumbang kepada penambahbaikan landskap bandar.

“Kami berharap aktiviti yang diterajui golongan belia ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan melindungi alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelaksanaan aktiviti itu turut mendapat sokongan DBKU yang menyediakan anak pokok dan tanah subur bagi tujuan penanaman.

ASEZ merupakan kumpulan sukarelawan pelajar universiti di bawah Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan.

Selain aktiviti penanaman pokok, ASEZ turut melaksanakan pelbagai program pemeliharaan alam sekitar termasuk pembersihan kawasan sungai dan kempen kesedaran berkaitan pencemaran plastik.