
KUALA LUMPUR: Aset wakaf berpotensi besar menjadi pemangkin ekonomi umat Islam sekiranya diurus secara sistematik dan berpandukan prinsip syariah, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, konsep kebajikan dalam Islam perlu diperluas melangkaui bantuan segera, dengan memberi tumpuan kepada pengurusan harta wakaf sebagai sumber pendapatan jangka panjang yang berkat dan mampan.
“Jika kita lihat masyarakat Islam di Malaysia, mereka memiliki aset.
“Aset wakaf ini perlu diurus dengan baik menurut syariat Islam kerana ia mampu memberikan pulangan ekonomi yang besar kepada masyarakat, di samping meraih ganjaran daripada Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Upacara Khas Penyerahan Kepimpinan Baharu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di ibu negara, hari ini.
Bagi memperkukuh usaha tersebut, Abang Johari memaklumkan akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan baharu PERKIM untuk merangka pendekatan holistik dalam pengurusan aset dan kebajikan umat Islam.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan pendidikan teknikal dalam kalangan generasi muda Islam agar mereka bersedia menghadapi cabaran ekonomi baharu.
“Di Sarawak, kita telah membangunkan pelbagai bidang pendidikan teknikal untuk anak-anak Islam. Saya berharap dasar latihan ini dapat dibincangkan di peringkat kebangsaan supaya sejajar dengan keperluan ekonomi semasa,” ujarnya.
Abang Johari turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama dengan kepimpinan baharu PERKIM mampu meneruskan legasi perjuangan yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua baharu PERKIM dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan PERKIM Kali ke-64.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Naib Yang Dipertua PERKIM Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim serta barisan ahli Majlis Tertinggi PERKIM.