KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menambah aset baharu sebuah bot bagi meningkatkan kesiapsiagaan berdepan bencana banjir dalam melaksanakan tugas dengan lebih efisien pada masa depan, sekali gus menambah baik kualiti pelaporan berita dan misi bantuan.
Pengerusinya Datuk Ras Adiba Radzi berkata, penambahan aset terbaharu itu dilihat penting dalam melaksanakan tugasan pelaporan berita khususnya apabila negara dilanda bencana luar biasa dan luar jangka baru-baru ini.
“Bot yang kita ada ini adalah satu inisiatif yang cukup bagus untuk Bernama khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Dengan adanya aset ini, kita juga boleh turun padang untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya, ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Ras Adiba dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain merasmikan program Singgah Kebun di Kebun Bandar Bernama sekitar Sungai Bunus, di sini dengan simbolik penanaman anak pokok Roselle, sebelum program diteruskan dengan aktiviti bercucuk tanam melibatkan warga kerja Bernama di kebun bandar itu.
Mengulas mengenai program itu, Ras Adiba berkata, ia adalah satu usaha yang baik dan perlu dipergiatkan memandangkan aktiviti menghijaukan kawasan bandar dilihat mampu memberi kesan positif kepada alam sekitar dan kesihatan mental.
“Sebagai seorang yang berada dalam dunia kewartawanan, sudah tentu aktiviti begini penting untuk kita menenangkan diri daripada tekanan kerja,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah II Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Wan Nurul Mardiah Wan Mohd Rani yang turut hadir pada program itu berkata inisiatif kebun bandar itu bertujuan memelihara kawasan hijau sepanjang Sungai Bunus di samping melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi.
Beliau berkata selain menjadi kawasan hijau dalam sesebuah bandar, kebun bandar itu juga akan dijadikan sebagai satu daripada platform penyelidikan pada masa depan.
— Bernama