KUALA LUMPUR: ASEAN perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk mencapai kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang lebih besar dan mampan sebagai sebahagian langkah untuk rantau ini pulih daripada pandemik Covid-19, kata Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi (gambar).
Beliau berkata, pendigitalan dan kemampanan penting bagi usaha pemulihan dalam fasa penyepaduan ekonomi seterusnya.
“Malah, laporan tinjauan pertengahan penggal Pelan Tindakan AEC 2025 yang baharu dikeluarkan menekan keperluan untuk ASEAN menerima guna dan menyesuaikan dengan perkembangan baharu, yang termasuk digitalisasi dan kemampanan.
“Lebih-lebih lagi, dua bidang ini menjadi teras strategik ASEAN untuk memajukan 13 keutamaan ekonomi yang boleh serah semasa tempoh Brunei menjadi pengerusi tahun ini,” katanya dalam satu sesi persidangan secara maya Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun selama lima hari mulai Isnin.
Mengenai pendigitalan, beliau berkata ASEAN telah mengutamakan agenda digital menerusi Pelan Induk Digital ASEAN 2025 dan Pelan Tindakan Rangka Kerja Penyepaduan Digital Asean 2025 untuk membangunkan infrastruktur digital berkualiti tinggi yang selamat dan terbuka, membangunkan kemahiran digital dan merangka pengawalseliaan digital rantau ini.
Mengenai pertumbuhan hijau dan kemampanan, Lim berkata ASEAN, melalui para pengawal selia kewangan dan bank pusat, terus melaksanakan inisiatif dan menggalakkan pembiayaan mampan di bawah Piawaian Bon Hijau/Kemampanan ASEAN serta pelan hala tuju pasaran modal mampan dan laporan penggalakan kewangan mampan di rantau ini.
“Bagaimanapun untuk berjaya, usaha kita harus disokong oleh semua pihak dan saya berpandangan kerajaan di ASEAN tidak boleh melakukannya secara sendirian malah, kita perlu menyokong pelbagai pihak berkepentingan di rantau ini, khususnya komuniti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata ASEAN memerlukan kesinambungan perniagaan Jepun untuk memaksimumkan aktiviti produktif rentas sempadan serta memanfaatkan penempatan semula rantaian bekalan ke rantau ASEAN.
“Ini diperlukan untuk mengembalikan keyakinan pengguna dan mengekalkan kestabilan pasaran di rantau ini. Kita juga memerlukan komuniti perniagaan untuk membantu memulihkan rantaian bekalan dan hubungan perdagangan dengan memanfaatkan teknologi digital.
“Satu kemungkinan adalah supaya syarikat melabur lebih banyak bagi platform e-dagang untuk membolehkan pergerakan barang dan perkhidmatan rentas sempadan yang lebih pantas dan selamat selain pemulihan ekonomi serta penciptaan pekerjaan selepas pandemik berakhir,” katanya.
Beliau menyeru komuniti perniagaan ASEAN untuk menumpukan pelaburan mampan seperti infrastruktur hijau dan pelaburan bagi inisiatif rendah karbon lain.
“Bagi melaksanakannya, penting untuk memastikan keputusan pelaburan adalah hasil daripada usaha memperkukuh kewangan swasta dan awam yang menumpukan pertumbuhan hijau di samping menggerakkan semua bentuk alat pembiayaan yang tersedia demi masa depan rantau ASEAN yang mampan,” katanya.
Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun dianjurkan oleh pelbagai organisasi dari ASEAN dan Jepun. – Bernama