





KUALA LUMPUR: Kelab gergasi England Manchester United terpaksa menelan kepahitan apabila gagal mencatat kemenangan berdepan pasukan ASEAN All-Stars selepas tumpas 0-1 pada aksi Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.
Pemain sayap gantian Maung Maung Lwin, muncul wira skuad gabungan pemain dari Asia Tenggara itu selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan ke atas juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Beraksi buat kali pertama di sini sejak kali terakhir pada 2009, United memahami keinginan peminat apabila membariskan skuad gabungan pemain berpengalaman dan muda, antaranya Andre Onana, Harry Maguire, Casemiro, Diogo Dalot, Manuel Ugarte dan Rasmus Hojlund.
Onana paling mencuri tumpuan apabila nama penjaga gol berusia 29 tahun itu beberapa kali dilaungkan oleh penyokong setiap kali bola berada dengannya.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan United lebih menguasai kawalan bola, namun perlawanan seakan seimbang dengan kedua-dua benteng pertahanan pasukan beberapa kali diuji, sekali gus menunjukkan keghairahan ASEAN All-Stars bimbingan Kim Sang Sik, di sebalik reputasi gah lawan.
Pemain dari Filipina, Amani Aguinaldo, memiliki peluang untuk meletakkan pasukan di depan tetapi rembatan padunya pada minit ke-16 melambung tinggi, sebelum Maguire pula kecewa apabila tandukannya berpunca daripada sepakan sudut diselamatkan penjaga gol Patiwat Khammai pada minit ke-24.
Tiga minit kemudian, Onana bertindak cemerlang menyelamatkan rembatan deras dari jarak dekat pemain Filipina Sandro Reyes, sekali gus mendapat tepukan gemuruh.
Menghampiri masa rehat, United kendalian Ruben Amorim menggandakan asakan yang memaksa Patiwat bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada Kobbie Mainoo.
Bersambung separuh masa kedua, kelibat pemain bintang seperti ketua pasukan Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho dan Amad Diallo dimasukkan untuk memperkuat jentera serangan dan menambah ketajaman dalam memburu gol pembukaan perlawanan.
Memasuki minit ke-68, penyokong yang mengharapkan gerakan-gerakan berbahaya bagi mencipta jaringan melakukan ‘Mexican Wave’, sebelum menyalakan lampu telefon bimbit dalam usaha membangkitkan semangat para pemain kedua-dua pasukan di padang.
Hasilnya, satu gerakan serangan balas pantas dilakukan ASEAN All-Stars sebelum hantaran Adrian Segecic tepat kepada Maung Maung Lwin di sebelah kanan, yang dengan tenang melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol gantian United, Thomas Heaton, pada minit ke-71.
Jaringan pembukaan itu ‘menggegarkan’ gelanggang keramat skuad Harimau Malaya, sekali gus menceriakan kira-kira 72,000 penyokong yang hadir.
Tersentak dengan jaringan itu, United memperkemas permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan ASEAN All-Stars, yang memaksa barisan pertahanan bekerja keras sebelum akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan.
Untuk rekod, kali terakhir United beraksi di Malaysia ialah pada 2009 ketika jelajah pramusim dengan dua kemenangan ke atas Malaysia XI, masing-masing 3-2 dan 2-0.
Selepas aksi di Bukit Jalil malam ini, juara tiga kali Liga Juara-Juara UEFA itu dijadual meneruskan jelajah pascamusim ke Hong Kong untuk bertemu pasukan kebangsaan negara itu Jumaat ini di Stadium Hong Kong.
— BERNAMA