LUAR bandar merupakan potensi terbesar negara apabila sumber pelbagai makanan bermula dari luar bandar. Di mana-mana negara dunia, luar bandar memainkan peranan penting sebagai sumber bekalan makanan dunia.
Hal ini kerana keterlibatan luar bandar dalam pertanian yang membekalkan makanan dan bahan mentah untuk masyarakat yang lebih besar. Luar bandar masih menjadi tempat sumber tenaga berpotensi, pusat pemeliharaan kebudayaan, pengukuh tradisi dan sumber gerakan patriotisme.
Namun di kebanyakan negara, luar luar bandar masih terperangkap dengan belenggu isu kemiskinan dan kemunduran.
Tanpa mengira sempadan geografi di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis, Kedah atau di mana-mana sahaja, atau aspek budaya yang berbeza mahupun peringkat sejarah pembangunan masyarakat, hakikatnya terdapat tiga aspek yang memberikan makna kepentingan luar bandar.
Pemahaman aspek ini penting agar aspek asas ini perlu sentiasa diberikan perhatian dan tindakan oleh semua pihak.
Keperluan asas
Yang pertama ialah keperluan asas kehidupan yang menjadi inti kehidupan manusia. Keperluan asas ini ialah makanan, tempat tinggal dan pakaian. Selepas perkembangan kehidupan, ia berkembang kepada tuntutan untuk memastikan aspek perlindungan keselamatan harta benda dan perlindungan yang lebih baik, penjagaan kesihatan dan celik huruf.
Apabila berlakunya kekurangan mana-mana dalam satu aspek ini, maka dapat dikatakan bahawa berlakunya isu atau krisis ‘kekurangan pembangunan mutlak’. Maka, perlunya menyediakan keperluan asas kehidupan ini adalah tanggungjawab utama ekonomi tanpa mengira ideologi ekonomi itu sendiri, sama ada ekonomi liberalisme, neo liberalisme, sosialisme atau pun campuran.
Dengan kata lain, perlunya ada pertumbuhan ekonomi untuk membawa perubahan ke arah peningkatan atau per kapita keperluan asas manusia. Aspek ini penting sebagai syarat untuk meningkatkan lagi mutu kehidupan penduduk di luar bandar atas nama pembangunan luar bandar.
Penghormatan diri
Maruah dan penghormatan adalah aspek kedua dalam masyarakat bertamadun iaitu ciri penting yang memaknakan aspek luar bandar. Di desa aspek maruah diri, rasa bernilai berlaku apabila saling menghormati antara satu sama lain. Menghormati diri, menghayati maruah diri dan memupuk perasaan tidak dipinggirkan penting bagi membentuk nilai dan konsep maruah dan bermaruah.
Ketiadaan atau penafian dalam menghormati empunya badan atau menghormati diri menunjukkan berlakunya kekurangan pembangunan. Maka setiap individu, kelompok kumpulan masyarakat malah setiap negara mengusahakan, membina maruah diri, maruah masyarakat dan maruah negara.
Aspek ini penting bagi membina keyakinan, identiti dan rasa hormat sebagai individu dan kelompok masyarakat. Berdasarkan aspek ini aspek kesejahteraan hidup individu dan masyarakat luar bandar sangat penting. Di mana-mana daerah, wilayah, negara dunia ini manusia dan masyarakat mencari dan mencipta identiti, mencari makna hormat dan penghormatan, menghayati konsep harga diri atau maruah dan ini dapat dilihat dalam nilai kehidupan harian yang menjadi norma hidup mereka.
Sudah tentu, sifat dan bentuk harga diri berbeza berdasarkan kebudayaan dan perubahan masyarakat daripada semasa ke semasa. Hal ini terpancar dalam kebudayaan masing-masing. Misalnya undang-undang adat Melayu dan undang-undang adat Iban mempunyai cara yang unik dalam mengenakan hukuman kepada mana-mana individu yang melanggar peraturan adat kehidupan mereka dan dihukum berdasarkan kayu ukur atau sistem nilai yang ada pada etnik tersebut.
Kesemua ini adalah untuk membina konsep penghormatan diri, mempertahankan maruah individu dan etnik, serta memberikan makna nilai harga diri. Makna tersebut penting dalam kehidupan yang mereka lalui.
Sesuai dengan perubahan masyarakat, nilai dan harga diri boleh juga berdasarkan pertimbangan nilai material misalnya berdasarkan pendapatan dan harta yang lebih banyak, menyamakan dengan kelayakan tinggi pada zaman tradisional dahulu.
Terdapat juga berdasarkan jumlah pengikut atau keluarga yang besar dan ramai yang menentukan pengaruh yang memberikan nilai dan harga diri. Namun perubahan sosial berlaku dan individu mempunyai intelek tinggi dianggap berkelayakan dalam masyarakat, atau gabungan intelek dan harta, kesemua ini ditentukan oleh masyarakat itu sendiri di luar bandar.
Kebebasan
Asas membina kesejahteraan luar bandar ialah kebebasan. Sudah tentu ada yang berasa janggal apabila secara konvensi imej luar bandar ialah keterikatan dan keterbelengguan. Namun untuk maju, luar bandar perlu ada kebebasan ekonomi dan bebas daripada ‘penghambaan’ sosial.
Bermakna mereka perlu diberikan pilihan, diberikan kemajuan, bebas daripada pengaruh orang tengah yang selama ini banyak membawa keterbelengguan. Misalnya, nelayan menangkap ikan di laut, namun apabila sampai di jeti peraih membeli dengan harga murah, kemudian dijual di restoran-restoran besar dengan harga yang mahal. Peraih semakin untung dan tinggi pendapatan manakala kehidupan nelayan masih banyak tidak berubah.
Begitu juga, penoreh getah yang setiap pagi tanpa gagal bangun seawal 4 pagi bagi membuat persiapan untuk menoreh getah. Namun kehidupan penoreh getah berbeza dengan pemodal atau kapitalis yang mampu memperoleh keuntungan berbilion ringgit setahun dan menikmati hasil keringat penoreh yang hidup penoreh masih belum sejahtera.
Bermakna kehidupan luar bandar perlu lebih bebas untuk membentuk koperasi mereka sendiri, memastikan peranan orang tengah dapat dikurangkan secara minimum agar kehidupan mereka di luar bandar lebih baik, dan peranan orang tengah diambil alih oleh koperasi. Politik eskploitatif juga perlu dihindarkan dengan tidak menggunakan kesukaran rakyat untuk mendapat kemenangan besar sedangkan terdapat indeks kadar kemiskinan di luar bandar lambat berubah.
Jihad memerangi kemiskinan terutama di kawasan 28 daerah paling miskin negara perlu dilihat secara positif untuk kerajaan lebih memberikan fokus di kawasan tersebut. Menafikan fakta dan data tersebut seolah-olah menolak pembangunan melalui dasar campur tangan kerajaan untuk memastikan pembangunan yang lebih cepat dan bersasar.
Kebebasan masyarakat luar bandar perlu dilihat juga bebas daripada belenggu kejahilan, bebas berfikir secara rasional, bebas daripada eksploitasi sesama manusia, institusi yang mengekang dan kepercayaan dangkal terlalu dogmatik hingga menyebabkan matlamat pembangunan gagal dicapai.
Kebebasan manusia, keupayaan untuk memilih, adalah penting untuk pembangunan sosial, ekonomi dan politik. Pembangunan bukan hanya diukur dengan hanya pendapatan per kapita semata-mata kerana ini tidak mencerminkan pelbagai dimensi, sifat dan proses pembangunan itu sendiri.
Sebab itu, indeks kesejahteraan atau Indek Pembangunan Manusia antara petunjuk penting bagi pembangunan sosioekonomi pembangunan luar bandar.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)