
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan asas eksport negara yang pelbagai dan permintaan berterusan dalam sektor utama mampu mendepani sebarang kesan berpotensi timbul susulan tarif Amerika Syarikat (AS), kesan terhadap semikonduktor adalah minimum.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menguruskan risiko.
“Malaysia mendapat manfaat daripada aktiviti penghantaran eksport kerana perniagaan cuba mengelak tarif lebih tinggi dan 32 peratus daripada eksport Malaysia ke AS dikecualikan daripada tarif termasuk produk utama seperti semikonduktor.
“Selain itu, eksport negara tiada keanjalan harga, bermakna kuantiti diminta untuk eksport Malaysia tidak akan berubah secara drastik dalam jangka pendek apabila harga meningkat disebabkan tarif. Contoh produk ini termasuk jentera elektrik, perkakasan komputer dan peralatan optik serta saintifik,” katanya pada sidang media mengenai prestasi suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada tarif khusus sektor AS yang akan datang ke atas semikonduktor akan memberi kesan ketara kepada pertumbuhan dan prospek eksport negara.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama 2024, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang mampan dan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta dasar kerajaan.
Bagaimanapun, pertumbuhan itu lebih perlahan daripada pertumbuhan 4.9 peratus dicatatkan pada suku keempat 2024.
Abdul Rasheed berkata BNM telah pun melihat beberapa aktiviti penghantaran eksport untuk elektrik dan elektronik (E&E) ketika syarikat cuba mengurangkan kesan tarif.
“Ini menggariskan permintaan asas kukuh untuk produk E&E. Kami menjangkakan permintaan berterusan bagi E&E, disokong oleh kedudukan kukuh Malaysia dalam rantaian nilai global dan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau juga berkata menerusi sesi libat urus BNM dengan syarikat-syarikat, firma memberitahu bahawa kesan negatif daripada tarif berkenaan adalah minimum dalam tempoh jangka pendek.
“Untuk melengkapkan penilaian data kami, BNM juga mengadakan libat urus dengan firma untuk mengumpul pandangan di lapangan mengenai kesan tarif. Pandangan ini mencadangkan bahawa dalam jangka terdekat, kurang daripada satu pertiga daripada wakil syarikat yang ditemu bual menjangkakan tiada kesan terhadap mereka oleh langkah tarif tersebut.
“Bagaimanapun, kebanyakan firma menjangkakan kesan adalah minimum malah memberi kesan positif dalam tempoh tiga bulan akan datang. Dalam beberapa kes, pesanan telah pun diperoleh untuk beberapa bulan akan datang, memberikan penampan terhadap sebarang gangguan yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata firma dalam tinjauan itu turut mengesahkan kehadiran aktiviti penghantaran oleh pelanggan luar negara mereka seperti dilihat daripada data makro dan menyatakan bahawa data inventori oleh pelanggan berkenaan telah menyebabkan lonjakan permintaan untuk eksport Malaysia.
Selain itu, Abdul Rasheed berkata pelancongan juga akan terus memainkan peranan penting dalam prospek ekonomi tahun ini.
Ketersambungan penerbangan lebih baik, perlanjutan tempoh perjalanan tanpa visa (dasar pengecualian visa) dan usaha promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 diunjurkan untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelancong (resit pelancongan), katanya.
“Sudah pasti, kami terus berhati-hati terhadap risiko penurunan terutamanya daripada sekatan perdagangan yang lebih tinggi dan pendapatan serta permintaan berpotensi berkurangan untuk pelancongan antarabangsa seterusya menjejaskan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia,” katanya. – Bernama