
CANBERRA: Sebuah pesawat Qantas yang dalam penerbangan dari Australia Selatan (SA) ke ibu negara Canberra terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas sejurus berlepas pada pagi Rabu selepas asap dikesan di dalam kabin, lapor Xinhua.
Penerbangan QF1972 berpatah balik dan mendarat semula di Lapangan Terbang Adelaide tidak lama selepas berlepas pada 6.10 pagi waktu tempatan pada Rabu, berikutan perisytiharan daripada juruterbang yang meminta pendaratan keutamaan apabila kru menyedari terdapat asap di dalam kabin, menurut Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).
Jurucakap Qantas berkata pesawat E190 itu mendarat dengan selamat di Adelaide dan akan diperiksa oleh jurutera sebelum kembali beroperasi.
Menurut jurucakap itu, semua penumpang di dalam pesawat berkenaan telah ditempatkan dalam penerbangan alternatif yang berlepas dari Adelaide pada kira-kira 8.30 pagi waktu tempatan.- Bernama-Xinhua