Asap kebakaran tapak pelupusan sampah tambah kesan jerebu rentas sempadan

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sampah di Tapak Pelupusan Sampah, Jalan Selalang pada hari ketiga operasi. Foto BBP Sarikei

SARIKEI: Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah, Jalan Selalang memberi kesan terhadap kualiti udara di kawasan berhampiran, dengan keadaan ditambah lagi oleh jerebu rentas sempadan yang sedang melanda ketika ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, hari ini merupakan hari kelima sejak kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut dilaporkan pada 3 September lalu.

Bagaimanapun, katanya, tapak tersebut telah diserahkan kepada pihak pengurusan pada hari ketiga untuk tindakan selanjutnya selepas langkah menghalang kebakaran daripada merebak ke kawasan luar dilaksanakan.

“Hari ini adalah hari kelima kebakaran tapak pelupusan sampah. Tapak telah diserahkan kepada pihak pengurusan tapak pada hari ketiga untuk tindakan selanjutnya.

“Laluan pemutus api (fire break) di antara tapak pelupusan sampah dan hutan telah selesai dibuat pada hari ketiga untuk menyekat kemerebakan ke kawasan luar dari tapak pelupusan sampah dengan bantuan mesin jengkaut,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Katanya, pembinaan laluan pemutus api tersebut merupakan langkah bagi mengehadkan kawasan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke kawasan hutan berhampiran.

“Pada hari ketiga, permukaan atas tapak dapat dikawal manakala di lereng timbunan sampah masih mengeluarkan asap tebal.

“Cuaca kering telah membantu kemerebakan api dengan lebih aktif. Tiada sumber air terbuka seperti parit ataupun sungai di lokasi berdekatan menyebabkan pihak bomba bergantung kepada pengeluaran air dari pili bomba dengan tekanan yang agak terhad namun masih boleh digunakan.

“Selain itu, risiko kepada pasukan bomba serta pihak pengurusan tapak terdedah kepada asap yang boleh menjejaskan kesihatan,” katanya lagi.

Mengulas keadaan semasa ketika Sarikei turut berdepan jerebu rentas sempadan, katanya, asap daripada kebakaran tapak pelupusan tersebut sememangnya memberi kesan terhadap kualiti udara di kawasan berhampiran.

“Sudah pasti kualiti udara di kawasan berdekatan akan terjejas ditambah lagi dengan jerebu rentas sempadan,” katanya.

Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah, Jalan Selalang mula dilaporkan kepada pihak bomba pada 9.27 pagi, 3 September lalu sebelum operasi pemadaman dilaksanakan oleh BBP Sarikei.

Dalam operasi hari ketiga sebelum ini, kawasan kebakaran dilaporkan melibatkan keluasan keseluruhan 0.41 hektar, dengan 0.1 hektar berjaya dipadam manakala baki 0.31 hektar masih terjejas ketika laporan operasi dikeluarkan.

Operasi ketika itu turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Sarikei (MDS) dan pekerja kontraktor, selain penggunaan dua unit jengkaut dan sebuah lori tangki bagi membantu usaha menangani kebakaran.

Oleh Earl Anek