Hanya cermat mengawal bara untuk menghasilkan asap dari kayu api ketika proses menyalai ikan Tongkol segar merupakan rahsia pengikat selera peminat hidangan ini.
Pasti ramai tidak mengetahui ditengah kesibukan bandar raya Kuching tersimpan sebuah lokasi yang menjual ikan Tongkol salai yang boleh dianggap sebagai satu ‘nikmat yang tidak terkata’ enaknya.
Terletak di lokasi Tupong Ulu, ikan tongkol yang disalai itu adalah hidangan sinonim untuk masyarakat kaum Melanau di daerah Mukah, Bintulu dan Miri.
Bermula tahun 2018 lagi, pasangan suami isteri, Mohd Haidir Sra, 44 dan Horiyahti Iskandar,41 menjual Ikan Tongkol jenis putih dan merah yang hanya disalai di hadapan kediaman mereka apabila musim ikan Tongkol banyak yang diangkat oleh nelayan-nelayan di Kampung Goebilt.
“Tiada kelainan atau resepi rahsia ketika kami menyediakan ikan salai ini kerana ia sama sahaja seperti ikan salai yang dibuat oleh kaum Melanau yang lain,” kata Mohd Haidir yang berasal dari Mukah.
Menceritakan proses-proses menyalai ikan berkenaan, Mohd Haidir hanya bersahaja mendedahkan hanya ikan Tongkol yang segar akan dipilih kemudiannya akan dibersihkan, disiang dan dibelah dua. Seterusnya ikan akan digaul dengan garam dan serbuk perasa sebelum mula disalai.
“Ikan disalai menggunakan kayu api. Api hendaklah sederhana kuat dan jarak ikan mestilah tidak terlalu rapat dgn api supaya ikan masak secara rata. Proses menyalai ikan mengambil masa 2 hingga 3 jam sehingga ikan benar-benar masak,” ujarnya.
Mohd Haidir menambah bagi menjaga kualiti dan rasa ikan salainya agar sentiasa terpelihara, dirinya dan isteri hanya memproses sebanyak 30 ekor ikan setiap kali menyalai.
“Jumlah 30 ekor itu tidaklah tetap kerana kami juga bergantung kepada stok ikan yang kami beli dari nelayan-nelayan dari Kampung Goeblit,” jelasnya.
Tambahnya ada ketika permintaan pelanggan terhadap ikan salai yang dijualnya tidak dapat menampung stok yang sedia ada namun kebanyakan pelanggan memahami keadaan tersebut dan bersabar menanti giliran mereka di anjak kepada pesanan seterusnya selepas stok ikan mencukupi.
Jika menjaga bara api dan menyalai adalah bidang kerja Mohd Haidir, isterinya, Horiyahti Iskandar, pula berperanan sebagai agen mempromosi dan jualan ikan salai berkenaan, biasanya di media sosial.
“Saya mengambil tempahan melalui media sosial mengikut stok ikan yang ada. Saya akan dahulukan pelanggan yang memesan awal dan sekiranya pelanggan lewat atau tidak sempat, saya akan maklumkan kepada mereka untuk membawa pesanan mereka kepada sesi menyalai akan datang. Sambutan dari pelanggan adalah sangat menggalakkan,” jelasnya.
Sekiranya stok ikan Tongkol tiada diangkat oleh para nelayan di Kampung Goebilt, inisiatif lain mereka berniaga kata Horiyahti adalah memproses ikan Pirang menjadi umai, membuat Suman Lemantak Payak dan membakar Lemang.
Oleh Diyana Samsuddin