NEW YORK: Kualiti udara yang tidak sihat serta keadaan cuaca di New York menjejaskan rancangan perjalanan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum untuk menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penerbangan Sheinbaum dari Cancun ke New York hari ini pada mulanya ditangguhkan selama dua jam sebelum dibatalkan sepenuhnya berikutan asap yang menyelubungi New York akibat kebakaran hutan di Kanada sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut kerajaan Mexico, presiden itu kemudian berlepas ke New York malam ini dengan menaiki pesawat yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan Mexico dan tiba di bandar raya itu awal pagi Isnin (waktu Malaysia).
Sheinbaum sebelum itu menerima jemputan mengejut daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri perlawanan akhir berkenaan di East Rutherford, New Jersey. Beliau akan menghadiri perlawanan itu bersama Perdana Menteri Kanada Mark Carney, yang mewakili negara ketiga yang menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia.
Hubungan antara Mexico dan AS masih tegang berikutan isu perdagangan dan keselamatan. Setakat ini, Sheinbaum hanya pernah bertemu Trump sekali bersempena Piala Dunia, iaitu ketika majlis undian berlangsung di Washington pada Disember tahun lepas. – Bernama





