
KUALA LUMPUR: Minatnya terhadap dunia kereta klasik, khususnya jenama eksklusif dari Jerman, Mercedes-Benz, bermula secara tidak sengaja apabila jirannya meminjamkan sebuah kereta klasik jenama itu kepadanya selepas kenderaannya rosak bagi memudahkan urusan harian.
Perkenalan secara tidak disangka itu akhirnya membuka lembaran baharu dan perjalanan luar biasa buat Mohd Azril Bahaman, 45, apabila beliau kini berjaya memiliki 10 buah kereta klasik mewah yang menjadi impiannya sejak tertaut hati dengan jenama itu dalam tempoh lima tahun.
Memiliki pelbagai model ikonik jenama itu, koleksi kereta klasik perunding perniagaan ini merangkumi edisi seperti Mercedes C123 Coupe keluaran 1982, 190E (1987), C126 Coupe (1982), S123 Wagon (1985), S124 Wagon (1990) hinggalah model lebih moden seperti W204 (2010).

“Masa itu (2020), kereta baharu (jenama Audi) saya rosak. Jadi, jiran telah menawarkan untuk meminjamkan Mercedes lama miliknya sementara menunggu kereta saya siap dibaiki. Bila saya bawa, terus jatuh cinta… rasanya lain, empuk dan selesa walaupun model lama.
“(Dalam koleksi saya) antara model paling disayangi ialah model W123 Wagon, yang dikeluarkan antara 1975 dan 1986. Aksesori dan peralatan kereta itu semua asli, daripada karpet, tempat duduk sampai papan pemuka… masih bau kilang walaupun dah menjangkau 40 tahun,” katanya kepada Bernama.
Mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang mengumpul koleksi kereta klasik impiannya termasuk pernah ditipu selain menuntut perbelanjaan agak tinggi, semua itu tidak pernah melelahkannya ataupun menghilangkan minatnya kepada kereta klasik.
Bercerita lebih lanjut, Mohd Azril yang berasal dari Maran, Pahang berkata kereta klasik pertama yang dimilikinya ialah Mercedes 190E keluaran 1987, dan sejak dari itu jaringan luas dalam komuniti peminat jenama itu telah banyak membantunya mendapatkan kereta idaman pada harga jauh lebih rendah.

Namun begitu, bagi model tertentu seperti jenis dua pintu, harganya cenderung lebih tinggi dan sukar untuk dirunding berbanding model empat pintu kerana edisi kereta klasik tersebut terhad dan sukar ditemukan di pasaran.
Biarpun begitu, beliau turut mengakui tidak semua kereta yang dibelinya berada dalam keadaan baik bahkan ada yang memerlukan proses restorasi yang menelan kos agak tinggi sebelum mampu meningkatkan kembali nilainya di pasaran.
“Pelaburan dalam kereta klasik kini semakin mendapat tempat kerana nilainya semakin meningkat berbanding kereta biasa yang akan susut. Contohnya Mercedes W123 Coupe, harganya dulu RM70,000 tetapi sekarang sudah cecah RM200,000.
“Model yang sukar ditemukan macam Pagoda, ada yang boleh cecah lebih RM1 juta,” katanya sambil menambah pernah menjadi mangsa tipu dengan pemilik bengkel kereta yang memintanya membayar hingga RM5,000 bagi pembaikan kereta walhal kos yang rosak hanyalah sekitar RM150.

Bertitik tolak dari situ, bapa kepada dua anak ini nekad untuk menambah pengetahuannya berkenaan dunia Mercedes menerusi jaringan komuniti peminat kenderaan itu yang banyak membantunya berkaitan penyelenggaraan dan penjagaan kereta klasik mewah itu selain pengalamannya sendiri.
Ilmu yang diperolehnya turut dikongsikan di TikTok dan Facebook yang dimanfaatkan sepenuhnya Mohd Azril ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan tanpa disangka, satu daripada videonya bersama-sama dengan penyanyi era 90-an telah menarik perhatian ribuan netizen.
Mencecah lebih 2.5 juta tontonan, videonya bersama-sama Ferri Anugerah Makmur berkaitan dengan minat dan kereta Mercedes klasik milik penyanyi itu juga akhirnya telah melonjakkan jumlah pengikutnya secara mendadak dan beliau kini memiliki 332,000 pengikut menerusi akaun Klasik Mercedes Malaysia di Facebook dan TikTok.
“Saya bukan buat bisnes cuma suka kongsi maklumat mengenai kereta Mercedes lama termasuk penyaman udara, aksesori, pemanduannya. Hingga kini, saya telah senaraikan 120 bengkel Mercedes klasik yang boleh dipercayai di seluruh Malaysia untuk mudahkan pengguna mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan kereta,” katanya.
Mengenai penyelenggaraan, beliau berkata alat ganti untuk model Mercedes era 1980-an ke atas masih banyak di Malaysia sementara model lebih lama agak sukar sehingga ada yang memerlukan pencarian khusus termasuk di luar negara.
Sebagai perancangan jangka panjang, Mohd Azril bercita-cita membuka sebuah galeri atau kafe yang menggabungkan pameran kereta klasik Mercedes buat peminat berkumpul dan berkongsi pengalaman menarik mengenai kereta itu. — Bernama