
DHAKA: Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan €68 juta (AS$70.9 juta) tahun ini bagi menangani krisis Rohingya, umum kerajaan peralihan Bangladesh semalam.
Menurut Anadolu Ajansi, dana itu akan digunakan untuk membantu komuniti tuan rumah di Bangladesh serta penduduk yang terjejas akibat keganasan di negeri Rakhine, Myanmar, menurut kenyataan kerajaan selepas Ketua Kerajaan Peralihan, Muhammad Yunus bertemu dengan Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) Hadja Lahbib yang sedang dalam lawatan ke Dhaka.
Pengumuman bantuan kewangan berkenaan dibuat ketika krisis pembiayaan semakin meruncing bagi pelarian Rohingya yang tertindas.
Pesuruhjaya EU bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis itu berkata walaupun jumlah itu melebihi sumbangan awal EU tahun lepas, ia masih tidak mencukupi untuk mengelakkan kemerosotan ketara situasi kemanusiaan di kem-kem penempatan.
Bangladesh kini menampung lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di Daerah Cox’s Bazar, tenggara negara itu, sejak mereka melarikan diri daripada tindakan tentera Myanmar pada 2017.
Beliau menegaskan komitmen kerajaannya untuk menangani krisis kemanusiaan Rohingya, menyifatkannya sebagai isu meruncing bagi Bangladesh.
“Ia telah berlarutan selama beberapa tahun tanpa penyelesaian,” katanya.
“Setiausaha Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) akan datang. Kami sedang berusaha menarik perhatian antarabangsa terhadap krisis Rohingya,” lapornya.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dijadualkan melawat Bangladesh dari 13 hingga 16 Mac kelak.
-BERNAMA
