BAITULMAQDIS: Kabinet Keselamatan Israel bakal memutuskan sama ada menerima cadangan gencatan senjata dalam pertempuran berdarahnya dengan Hizbullah, menurut pegawai, semalam, manakala Amerika Syarikat (AS) yakin perjanjian bagi menamatkan peperangan di Lubnan semakin hampir tercapai.
Seorang pegawai Israel yang enggan namanya didedahkan, memberitahu AFP bahawa Kabinet Keselamatan Israel akan membuat keputusan berhubung perjanjian gencatan senjata itu, hari ini.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby pula optimis terhadap prospek gencatan senjata itu tetapi memaklumkan perbincangan berkaitan masih diteruskan.
“Kami percaya ia telah sampai ke tahap hampir selesai, cuma belum sampai situ lagi,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, AS telah berulang kali menyuarakan betapa pihaknya optimis mengenai perbincangan untuk mencapai gencatan senjata dalam peperangan di Gaza, namun Israel masih berterusan melancarkan serangan di semenanjung itu dan juga Lubnan.
Semalam, Perancis yang bergandingan dengan AS untuk menerajui usaha merealisasikan gencatan senjata di Lubnan pula dilapor menyatakan terdapat ‘kemajuan signifikan’ dalam perbincangan gencatan senjata terbabit, sekali gus mendesak Israel dan Hizbullah supaya ‘merebut peluang berkenaan’.
Selain itu, Itali yang sedang menyandang peranan sebagai Presiden G7, turut menyuarakan perasaan optimis ke arah pencapaian gencatan senjata di Lubnan.
Portal berita AS, Axios, sebelum ini melaporkan pihak-pihak terbabit semakin menghampiri satu perjanjian membabitkan pelaksanaan tempoh peralihan selama 60 hari di mana tentera Israel akan berundur dan tentera Lubnan ditempatkan semula berdekatan sempadan, manakala Hizbullah pula akan menarik balik senjata beratnya dari utara Sungai Litani.
Menurut laporan Axios lagi, intipati draf perjanjian itu antara lain turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa diketuai AS untuk memantau pelaksanaan, dan jaminan Washington bahawa Israel boleh bertindak terhadap ancaman dijangka berlaku sekiranya tentera Lubnan tidak mengambil tindakan. – AFP