
LOS ANGELES: Jumlah kes campak di Amerika Syarikat mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh lebih 30 tahun, menurut data yang dikeluarkan pada Rabu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Sebanyak 1,288 kes campak disahkan di seluruh negara setakat ini pada 2025, dengan 13 peratus daripada pesakit dimasukkan ke hospital, menjadikannya tahun terburuk sejak 1992, yang merekodkan 2,126 kes.
Kes-kes itu dilaporkan di 38 negeri di seluruh AS, dengan Texas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 753 kes.
CDC turut memaklumkan bahawa 92 peratus daripada kes melibatkan individu yang tidak menerima vaksin atau tidak diketahui status vaksinasinya.
Penularan tempatan campak disahkan berakhir di AS pada 2000, dengan tiada lagi penularan dalam negara dan kes-kes baharu hanya dikesan apabila seseorang dijangkiti di luar negara dan kembali ke AS, menurut CDC di laman sesawangnya.
Sebelum vaksin campak diperkenalkan, dianggarkan kira-kira 48,000 orang dimasukkan ke hospital, manakala 400 hingga 500 kematian dicatatkan setiap tahun akibat jangkitan itu di AS.- Bernama-Xinhua