WASHINGTON: Johns Hopkins University mengesahkan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan tambahan 46,321 kes baharu harian dalam tempoh 24 jam.
Perangkaan institusi berpangkalan di Baltimore itu turut menjelaskan, negara sumber ekonomi terbesar dunia itu turut dikesan menambah sebanyak 532 kematian dalam tempoh sama.
Ketika ini, AS merekodkan sebanyak 4,856,694 keseluruhan kes dengan 158,868 kematian, menjadikan negara paling terjejas di dunia.
Bagaimanapun, perangkaan semalam itu jauh lebih rendah selepas lima hari pada minggu lalu merekodkan lebih 60,000 kes jangkitan baharu harian.
Presiden AS, Donald Trump, dalam taklimat media berkata, keadaan semakin ‘surut’ di beberapa bahagian selatan dan barat AS, malah menyatakan perkembangan adalah ‘sangat meyakinkan’.
Bagaimanapun, sehari sebelum itu, penasihat Covid-19 Rumah Putih, Deborah Birx memberi amaran negara itu sudah memasuki ‘fasa baharu’ pandemik dengan risiko jangkitan di kawasan pedalaman sama seperti di bandar besar.
Setakat semalam, Covid-19 sudah menjangkiti 18,421,785 orang termasuk 696,537 kematian manakala 11,658,093 pesakit disahkan sembuh di 213 negara di serata dunia. – AFP