ANKARA: Amerika Syarikat (AS) membatalkan penempatan dua kapal perang ke Laut Hitam yang dirancang minggu ini, kata pegawai dan media Turki pada Rabu lalu, di tengah ketegangan tinggi antara Rusia dan Ukraine.
Sumber diplomatik Turki mengatakan laluan kapal pertama melalui Bosphorus yang dijadualkan pada Rabu lalu juga dibatalkan.
Agensi berita negeri Anadolu mengatakan kedua-dua penempatan, yang dijadualkan pada Rabu dan Khamis dibatalkan dengan Ankara belum diberitahu tentang kemungkinan penjadualan semula.
Minggu lalu, Turki mengumumkan bahawa telah diberitahu melalui saluran diplomatik bahawa dua kapal perang AS akan melintasi Laut Hitam dan akan tetap berada di wilayah tersebut hingga 4 Mei depan.
Bagaimanapun, tiada pengesahan dari Washington mengenai pengunduran yang dirancang atau pembatalannya.
Washington diminta memberi notis sekurang-kurangnya 15 hari kepada Ankara sebelum menghantar kapal perang melalui selat Bosphorus dan Dardanelles berdasarkan syarat Konvensyen Montreux 1936.
Syarat perjanjian itu membolehkan kapal perang asing tinggal di Laut Hitam selama 21 hari.
Kapal Tentera Laut AS beroperasi secara rutin di wilayah itu untuk menyokong Ukraine yang telah memerangi pasukan yang disokong Rusia di timur sejak revolusi 2014 menggulingkan pemimpin pro-Moscow di Kiev.
Rusia menguasai Semenanjung Crimea di Ukraine pada waktu yang sama mengadakan konfrontasi dengan Barat yang berlanjutan hingga ke hari ini.
Pengumuman kapal perang AS pada minggu lalu muncul ketika ketegangan antara Moscow dan Kiev meningkat kerana sengketa tentera Rusia di sempadan Ukraine.
Pengerahan pasukan ini berlatarbelakangkan insiden baru antara pasukan Kiev dan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.
Berita mengenai pembatalan penempatan kapal perang AS datang sehari selepas Presiden AS, Joe Biden bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin pada Rabu lalu.
Semasa perbualan itu, Biden mengusulkan pertemuan puncak dengan Putin di negara yang berkecuali dan meminta Rusia untuk ‘menghilangkan ketegangan’, menurut Rumah Putih. -AFP