Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • AS, Australia buru tiket pusingan kalah mati, Brazil cari kemenangan pertama
  • SUKAN

AS, Australia buru tiket pusingan kalah mati, Brazil cari kemenangan pertama

Utusan Sarawak 5 hours ago
TUMPUAN terarah kepada AS apabila mereka menentang Australia, dengan pemenang dijamin mara ke pusingan 32 terbaik. Foto: AFP.

LOS ANGELES (Amerika Syarikat): Amerika Syarikat (AS) dan Australia berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia pada 3.00 pagi esok (waktu Malaysia), manakala Brazil berusaha menghidupkan kempen mereka apabila menentang Haiti.

Selepas tuan rumah bersama Mexico mengesahkan kemaraan ke kelompok 32 terbaik hasil kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan pagi tadi, AS atau Australia boleh mengikut jejak langkah tersebut dengan meraih kemenangan dalam perlawanan Kumpulan D di Seattle.

Selepas persiapan yang kurang meyakinkan, skuad AS kendalian Mauricio Pochettino memulakan kempen Piala Dunia dengan penuh bergaya apabila membelasah Paraguay 4-1 di Los Angeles.

Kemenangan itu menyuntik keyakinan tinggi dalam kem AS, dengan sokongan rakyat semakin meningkat menjelang pertembungan penting menentang Australia.

Australia pula hadir dengan semangat berkobar-kobar selepas mencipta kejutan menewaskan Turkiye 2-0 pada Sabtu lalu.

Keputusan tersebut bermakna mana-mana pasukan yang menang dalam pertemuan itu akan mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik.

Ketegangan turut menyelubungi aksi tersebut selepas seorang pengulas AS menyifatkan Australia sebagai lawan yang mudah buat pasukan Pochettino.

Kenyataan itu mendapat perhatian besar di Australia sehingga mendorong jurulatih Socceroos, Tony Popovic, menegaskan pasukannya akan membuktikan kemampuan mereka di atas padang.

“Kami tahu kami mahu meraih penghormatan. Melalui prestasi kami, kami boleh meletakkan bola sepak Australia di peta dunia dan itulah sasaran kami,” kata Popovic.

GABRIEL Magalhaes menegaskan Brazil “tahu apa yang perlu dilakukan” selepas keputusan seri menentang Maghribi dalam aksi pembukaan. Foto: AFP.

Brazil perlu bangkit

Pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes, pula berkata juara dunia lima kali itu perlu segera melupakan keputusan seri 1-1 menentang Maghribi dalam aksi pembukaan mereka.

“Kami tahu apa yang perlu dilakukan. Kami sedar perlawanan pertama tidak berjalan seperti yang diharapkan, tetapi kami akan memberikan komitmen sepenuhnya dan melakukan yang terbaik untuk menang,” katanya.

Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, mengesahkan beliau akan melakukan perubahan dalam kesebelasan utama sambil menegaskan bahawa daya tahan lebih penting berbanding kesempurnaan pada peringkat awal kejohanan.

“Memulakan kempen dengan baik memang penting dalam Piala Dunia, tetapi yang lebih penting ialah pasukan perlu mempunyai ketahanan mental,” katanya.

Sementara itu, kapten Scotland , Andy Robertson, mahu pasukannya meneruskan momentum selepas menang 1-0 ke atas Haiti dan meraih keputusan positif menentang Maghribi.

“Kami mahu menjadi pasukan pertama yang membawa Scotland ke pusingan kalah mati Piala Dunia. Itu satu motivasi besar buat kami,” katanya.

ACHRAF Hakimi mengetuai Maghribi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Brazil. Foto: AFP

Hakimi berdepan perbicaraan

Persiapan Maghribi sedikit terganggu selepas mahkamah di Perancis mengesahkan kapten mereka, Achraf Hakimi, akan dibicarakan atas dakwaan merogol seorang wanita pada 2023.

Pemain pertahanan Paris Saint-Germain itu menafikan tuduhan berkenaan dan menyambut baik keputusan mahkamah tersebut.

“Akhirnya saya akan dapat bersuara,” tulisnya di platform X.

IRAN menjalani latihan di Mexico sebagai persediaan menghadapi perlawanan mereka di Amerika Syarikat. Foto: AFP

Iran bantah sekatan perjalanan

Di luar padang, Iran memaklumkan mereka akan membuat aduan kepada FIFA berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas pasukan mereka sepanjang kejohanan.

Iran mahu terbang dari kem latihan mereka di Tijuana, Mexico ke Los Angeles dua hari lebih awal sebelum perlawanan menentang Belgium pada Ahad.

Bagaimanapun, menurut persekutuan itu, permintaan tersebut ditolak.

Wakil khas Rumah Putih bagi Piala Dunia, Andrew Giuliani, berkata Iran telah dimaklumkan lebih awal bahawa mereka hanya dibenarkan memasuki AS sehari sebelum perlawanan.

“Pasukan itu dibenarkan masuk sehari sebelum perlawanan berlangsung,” katanya kepada CBS News. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Neymar terlepas aksi kedua Brazil di Piala Dunia menentang Haiti esok
Next: Kekalahan kepada Kanada tidak padam harapan Qatar, kata Lopetegui

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.