Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Artis Māori terkenal Rob Ruha bakal gegarkan RWMF 2025
  • HIBURAN

Artis Māori terkenal Rob Ruha bakal gegarkan RWMF 2025

Utusan Sarawak 8 hours ago
ARTIS Māori terkenal, Rob Ruha bersama kumpulannya bakal membuat persembahan di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025.

KUCHING:  Sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand, Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Kuala Lumpur dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran artis Māori terkenal, Rob Ruha bersama kumpulannya ke Sarawak untuk membuat persembahan di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025.

Rob Ruha, seorang penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik dari suku Te Whānau-ā-Apanui dan Ngāti Porou, dikenali dengan gaya muzik unik “haka soul” yang menggabungkan elemen tradisional Māori seperti waiata (nyanyian) dan kapa haka (tarian dan persembahan berirama) dengan genre moden seperti R&B, soul (muzik jiwa) dan reggae.

“Warisan saya adalah teras kepada muzik saya. Saya menulis dalam bahasa pertama saya, Te Reo Māori, dan tema dalam lagu-lagu saya mewakili suara serta perjuangan masyarakat saya yang disampaikan bukan hanya kepada mereka tetapi juga kepada dunia,” kata Ruha.

Lagu-lagu beliau yang disiarkan jutaan kali melalui platform digital seperti Spotify membawa mesej yang kuat tentang jati diri, harapan, cinta dan pemerkasaan budaya. 

Antara pencapaian beliau termasuk memenangi Anugerah Muzik Aotearoa bagi kategori Album Māori Terbaik, Album Ibadah Terbaik dan Artis Soul atau R&B Terbaik.

Selain kejayaan sebagai artis solo, Ruha turut dikenali kerana komitmennya membimbing generasi muda dalam bidang muzik termasuk kumpulan koir Māori, Ka Hao dengan lagu hasil kolaborasi mereka berjudul “35” pernah menjadi tular di TikTok dan mencatat jutaan siaran dalam talian di seluruh dunia.

Beliau juga merupakan pengarah muzik untuk versi bahasa Māori bagi filem animasi Disney seperti Moana, Frozen, Coco dan The Lion King.

“Ini kali pertama saya ke Sarawak dan saya sangat teruja. Saya akan mempersembahkan beberapa lagu baharu termasuk satu persembahan istimewa yang menampilkan elemen kapa haka. Saya tidak sabar untuk menyelami suasana di sini, bertemu penduduk tempatan, mendapatkan inspirasi daripada artis lain dan sudah tentu menikmati makanan Sarawak,” ujar Ruha.

ROB Ruha, seorang penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik dari suku Te Whānau-ā-Apanui dan Ngāti Porou.

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Michael Walsh berkata kehadiran Rob Ruha ke Malaysia sangat bermakna dalam mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara khususnya dalam konteks budaya.

“Kami tahu masyarakat Malaysia, khususnya generasi muda sangat berminat terhadap budaya Māori dan seni persembahan seperti haka. 

“Oleh itu, kami berasa bangga dapat memperkenalkan salah seorang artis Māori paling menyerlah kepada khalayak Malaysia tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, tahun 2025 amat signifikan kerana menandakan lima dekad hubungan erat antara ASEAN dan New Zealand.

“Tahun 2025 sangat bermakna buat ASEAN, New Zealand dan Malaysia. Ulang tahun ke-50 ini bukan sahaja menjadi detik untuk meraikan pencapaian lalu malah masa yang sesuai untuk membina asas kukuh ke arah kerjasama masa depan.

“Malaysia sentiasa menjadi rakan penting dalam hubungan New Zealand dan ASEAN dan kami berbesar hati menyambut Jubli Emas ini semasa Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini,” ujarnya lagi.

Penyertaan Rob Ruha dalam RWMF 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif diplomasi budaya oleh Kerajaan New Zealand bagi memperingati lima dekad kerjasama erat dengan ASEAN.

Rob Ruha dijadualkan membuat persembahan di pentas utama RWMF pada 21 Jun ini, dan turut dijemput sebagai salah seorang penceramah utama dalam Rainforest Youth Summit yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 Jun.

Oleh Clarissa Ima

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Lokasi konsert Krisdayanti ditukar ke PICC 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.