
KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Khadijah Ibrahim menasihati penggiat seni, khususnya artis generasi baharu, agar tidak bersikap sombong, sebaliknya sentiasa merendah diri dan menghargai sokongan peminat yang menjadi nadi kelangsungan kerjaya seni mereka.
Khadijah, 66, berkata dalam dunia hiburan yang bergerak pantas, sikap rendah diri dan profesionalisme merupakan asas penting untuk memastikan seseorang artis kekal relevan dan dihormati dalam jangka masa panjang.
Menurut beliau, peminat merupakan elemen paling penting dalam ekosistem seni kerana, tanpa sokongan mereka kerjaya seorang artis tidak akan dapat bertahan lama.
“Kalau kita sombong, siapa yang rugi? Pada akhirnya, kita juga yang rugi. Kita perlukan peminat, kita perlukan orang untuk sokong kerjaya ini,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas dakwaan netizen berkaitan artis yang bersikap sombong.
Beliau menambah, sebagai figura yang dikenali, artis perlu sedar kehidupan mereka tidak lagi bersifat peribadi sepenuhnya kerana sentiasa menjadi perhatian umum.
“Sebagai seorang artis, kita secara automatik menjadi figura awam yang tidak lagi memiliki ruang eksklusif seperti orang biasa, kita ini milik umum, tidak sepatutnya sombong. Ingat sentiasa, kita akan bahagia jika kita bahagiakan orang,” katanya.
Dalam pada itu, Khadijah yang juga Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) turut menyentuh sikap segelintir pihak dalam industri yang terlalu memilih atau lambat memberi maklum balas dalam urusan kerja sehingga menyukarkan perancangan produksi.
Beliau berkata profesionalisme bukan hanya terletak pada bakat, tetapi turut melibatkan disiplin, komunikasi dan rasa hormat pada masa orang lain.
“Ibu kini pengerusi Karyawan, sekarang banyaklah program kebajikan, konsert, makan malam dan lain-lain, kerana nak ‘hype up’ artis-artis mencari rezeki. Kita tidak mahulah artis-artis muda ketinggalan.
“Tetapi, pengalaman kita menjemput mereka ini untuk diganding dengan artis veteran macam kita ini tak ada nilai. (Tunggu) Sehingga berminggu-minggu, berbulan-bulan untuk dapatkan jawapan,” katanya sambil menambah niat Karyawan hanya mahu membantu meningkatkan karier seni artis muda.
Khadijah menegaskan pengalaman dan disiplin merupakan faktor utama yang membolehkan seseorang artis bertahan lama dalam industri, bukan sekadar populariti sementara.
Beliau berkata semua penggiat seni perlu sentiasa menjaga adab, menghormati peminat dan tidak melupakan asal-usul kerana perkara itu menjadi asas maruah seseorang dalam dunia hiburan.
Selain itu, pelantun lagu Ku Pendam Sebuah Duka itu juga mengkritik budaya penilaian berasaskan penarafan semata-mata yang dilihat beliau mampu menjejaskan penghargaan pada bakat sebenar seseorang artis.
“Kadang-kadang rating itu membunuh bakat. Kalau kita bagus, kita tetap perlu dihargai berdasarkan kemampuan, bukan angka,” katanya.- Bernama