LONDON: Arsenal meneruskan sentuhan ajaib menerusi gerakan ‘set-piece’ apabila menundukkan Manchester United, 2-0, awal pagi tadi, sekali gus mendekatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool kepada tujuh mata.
Keputusan itu turut menamatkan permulaan tanpa kalah Ruben Amorim sejak menduduki kerusi panas kelab Old Trafford itu.
United mengecewakan tuan rumah pada aksi babak pertama di Stadium Emirates, tetapi Jurrien Timber meletakkan Arsenal di depan apabila menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru sebelum seorang lagi pemain pertahanan, William Saliba mengulangi skrip sama.
Kemenangan itu meletakkan Arsenal di tangga ketiga EPL, sama mata dengan Chelsea, tetapi dibezakan oleh perbezaan jaringan dan tujuh mata di belakang Liverpool, yang seri 3-3 di Newcastle.
“Hari yang istimewa, perlawanan ke-500 di stadium. Kami menjaringkan gol menerusi set piece, tetapi kami turut boleh menjaringkan banyak lagi gol menerusi permainan terbuka,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta kepada BBC.
“Kami kehilangan dua pemain penting di benteng, tetapi pasukan masih bermain dengan baik.
“Permainan agak terbuka dan kami turut mengancam. Sangat puas hati. Memang gembira bermain di stadium dengan tenaga seperti ini, ia adalah sesuatu yang luar biasa.”
Amorim melakukan enam perubahan terhadap barisan yangmembelasah Everton, 4-0, hujung minggu lalu apabila merehatkan pemain sedang meningkat, Amad Diallo dan Marcus Rashford daripada kesebelasan utama.
Gabriel jelas kehilangan besar di benteng Arsenal, selain Ben White dan Riccardo Calafiori yang turut berada dalam senarai kecederaan.
Amorim berkunjung ke London dengan dua kemenangan dan satu seri dalam semua kejohanan sejak membimbing United dan sedar Arsenal akan menjadi ujian terbesarnya setakat ini.
Anak buah Arteta berpeluang berada di depan pada awal permainan, tetapi tandukan Thomas Partey daripada sepakan sudut sedikit tersasar dan ia seolah-olah amaran awal kepada United.
Gabriel Martinelli turut menanduk sipi hasil sepakan sudut pada pertengahan babak pertama pada ketika Arsenal menunjukkan ancaman mereka menerusi gerakan set piece.
Ia adalah kekalahan liga pertama dialami Amorim yang juga bekas pengendali Sporting Lisbon sejak Disember December 2023.
“Gerakan set piece itu mengubah perlawanan. Kami sepatutnya lebih agresif di kotak penalti Arsenal,” kata Amorim.
“Kecuali gerakan set piece itu, kedua-dua pasukan tidak memiliki banyak peluang dan set piece itu membunuh perlawanan.
“Mereka meletakkan ramai pemain berhampiran penjaga gol dan mustahil untuk berebut bola, tetapi kami berjaya bertahan dan sedar perlu bertindak lebih baik.” – AFP