LONDON, United Kingdom: Mikel Arteta menegaskan penyokong Arsenal tidak perlu bimbang mengenai masa depannya bersama juara Liga Perdana Inggeris itu ketika pengendali The Gunners berkenaan memasuki tahun terakhir kontraknya.
Arteta menamatkan penantian 22 tahun Arsenal untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris pada Mei lalu dan dijangka menandatangani kontrak baharu sebagai ganjaran atas kejayaan bersejarah itu.
Namun, ketika Arsenal bakal memulakan kempen 2026-27 menentang Manchester City dalam Perisai Komuniti masih belum kelihatan petanda jelas bahawa pengendali kelahiran Sepanyol itu hampir menandatangani kontrak baharu.
Arteta, yang menyertai Arsenal pada 2019, kali terakhir menandatangani kontrak baharu bersama kelab London utara itu pada 2024 dan tidak ragu-ragu bahawa perjanjian baharu akan dicapai kelak.
“Mereka tidak perlu bimbang mengenai perkara itu kerana saya mahu berada di sini,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
“Saya amat gembira. Saya berasa sangat bersyukur dapat bekerja dengan orang yang saya bekerja bersama dan apabila ada peluang, kami akan menyelesaikannya. Itu sahaja.”
Sambil memberi bayangan bahawa aktiviti perpindahan pemain Arsenal yang rancak sepanjang musim panas menjadi keutamaan berbanding kontraknya, Arteta turut meyakinkan penyokong supaya tidak bimbang.
“Sentiasa ada keutamaan lain, saya fikir! Begitulah cara kami menguruskannya kerana semua orang berasa selesa bahawa tempoh kontrak bukan satu isu,” katanya.
“Saya fikir kemahuan saya sememangnya untuk berada di sini dan saya sangat gembira di sini. Perasaan saya terhadap kelab ini juga sama. Sebab itu semua orang melakukan perkara secara semula jadi.”
Arsenal memperkuatkan skuad juara mereka dengan mendapatkan pemain tengah Newcastle, Bruno Guimaraes dan penyerang Club Brugge, Christos Tzolis.
Mereka turut menjadikan perpindahan Piero Hincapie dari Bayer Leverkusen secara pinjaman sebagai perpindahan kekal serta mendapatkan penjaga gol Illan Meslier secara percuma.
Usaha Arteta mendapatkan pemain Aston Villa, Morgan Rogers dan Vinicius Junior dari Real Madrid tidak berhasil dalam jendela perpindahan yang menyaksikan Manchester City, Tottenham dan Chelsea masing-masing membelanjakan £100 juta (AS$135 juta) untuk seorang pemain.
Bagaimanapun, Arteta tidak bimbang kejuaraan Arsenal akan dirampas oleh salah satu pencabar yang berbelanja besar itu.
“Saya sangat gembira dengan skuad dan pemain yang saya ada, selain sangat gembira dengan keazaman kelab,” kata Arteta, yang dikaitkan dengan Ezri Konsa dari Villa dan Jarell Quansah dari Leverkusen bagi memperkukuh pertahanan Arsenal.
“Tiada langsung persoalan mengenai perkara itu dan kami telah menunjukkannya melalui cara kami cuba bertindak, tetapi saya fikir kami perlu melakukannya mengikut cara kami sendiri.
“Kami mempunyai kekuatan yang sangat besar dan ada beberapa aspek lain yang perlu kami beri perhatian kerana kami tidak mempunyai elemen atau struktur seperti yang dimiliki kelab lain.
“Kami perlu melakukannya mengikut cara kami. Kami sentiasa berpegang kepada pendekatan itu dan kami akan melakukan apa yang kami percaya sebagai perkara yang betul untuk dilakukan bagi memastikan peluang terbaik untuk bersaing dalam setiap pertandingan.” – AFP




