LONDON: Mikel Arteta menegaskan Arsenal yang dilanda kecederaan akan kembali bangkit dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas mengakui kekurangan “keberanian” menjadi punca pasukannya seri 2-2 menentang Liverpool awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Arteta dua kali mensia-siakan pendahuluan dalam pertembungan besar di Stadium Emirates yang menjadi kemuncaknya apabila Mohamed Salah menyumbat masuk gol penyamaan sembilan minit sebelum tamat.
The Gunners mendahului menerusi gol pembukaan Bukayo Saka dan gol penyamaan Virgil van Dijk disusuli oleh gol tandukan Mikel Merino pada masa kecederaan babak pertama.
Namun Arsenal dirundung malang apabila Gabriel Magalhaes dan Jurrien Timber mengalami kecederaan pada babak kedua, melemahkan benteng pertahanan yang sudah terlepas khidmat William Saliba kerana penggantungan perlawanan dan Riccardo Calafiori yang cedera.
Mereka mengakhiri perlawanan itu dengan rombakan di benteng menyaksikan pemain tengah Thomas Partey beraksi di pertahanan kanan dan Ben White beralih dari pertahanan kanan ke pertahanan tengah.
Jakub Kiwior tampil dari bangku simpanan untuk beraksi di pertahanan tengah manakala pemain remaja Myles Lewis-Skelly memenuhi posisi pertahanan kiri.
Liverpool mengambil kesempatan susulan keadaan itu apabila hantaran Trent Alexander-Arnold memperdaya Lewis-Skelly, membolehkan Darwin Nunez mengumpan kepada Salah yang tidak dikawal bagi gol penyamaan.
Sesudah gagal menang dalam dua aksi terakhir liga, pasukan tangga ketiga Arsenal ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Manchester City berikutan catatan hanya tiga kemenangan dalam tujuh aksi liga utama.
Arteta dikecewakan oleh kegagalan Arsenal menambah gol pada babak pertama selepas mendominasi, dengan persembahan hambar selepas rehat menambah kekecewaannya.
“Babak pertama penguasaan penuh, jaringan patut lebih besar, tetapi tanpa memberikan apa-apa kami melepaskan dua gol. Ia satu perkara yang mengecewakan,” kata Arteta.
“Kami jauh lebih baik, tetapi kami tidak bertindak lebih baik pada separuh masa kedua, itulah sebabnya kami tidak menang. Kami tidak mempunyai keberanian. Saya lebih kecewa dan sedih dengan perkara itu.” – AFP