Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Arteta gesa Arsenal patahkan ‘sumpahan’ tahun baharu Liga Perdana
  • SUKAN

Arteta gesa Arsenal patahkan ‘sumpahan’ tahun baharu Liga Perdana

Utusan Sarawak 9 hours ago
ARSENAL kendalian Mikel Arteta kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan empat mata. Foto fail AFP 

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa pasukannya memecahkan ‘sumpahan’ tahun baharu ketika The Gunners berjuang memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama mereka dalam tempoh lebih dua dekad.

Arsenal kini mendahului liga dengan kelebihan empat mata ke atas Manchester City di tempat kedua pada separuh musim, dan kekal sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan liga Inggeris ke-14 dalam sejarah kelab.

Namun, dalam lima daripada 23 musim lalu di mana Arsenal menamatkan tahun kalendar di puncak liga, mereka gagal menjulang kejuaraan.

Kali terakhir situasi itu berlaku adalah tiga musim lalu apabila skuad kendalian Arteta menamatkan saingan lima mata di belakang Manchester City bimbingan Pep Guardiola.

Arteta, ketika bercakap pada Jumaat menjelang perlawanan menentang Bournemouth, mengakui beliau tidak menyedari statistik yang mengecewakan itu, namun menegaskan: “Mari kita patahkannya.”

Arteta berkata pemain-pemainnya begitu bersemangat untuk dinobatkan sebagai juara England buat kali pertama sejak 2004, selepas tiga musim berturut-turut menamatkan kempen sebagai naib juara.

“Itulah yang mereka tunjukkan setiap hari ketika bersama kami, sama ada dalam latihan atau dalam setiap perlawanan,” katanya.

“Anda dapat lihat keinginan itu, tenaga yang mereka curahkan, betapa kuatnya kemahuan mereka, dan itulah yang kami perlukan.

“Masih ada lima bulan lagi, ambil satu hari pada satu masa, nikmati proses berada di kedudukan sekarang dan teruskan usaha.”

Arteta berkata pasukannya berada dalam suasana positif selepas membelasah Aston Villa yang berada di tangga ketiga 4-1 di Stadium Emirates pada Selasa, sementara City pula diikat seri tanpa jaringan oleh Sunderland dua hari kemudian.

“Ia satu perasaan yang sangat baik, jelas sekali selepas menentang pasukan lawan yang benar-benar berkualiti, kami beraksi dengan baik dan menang dengan cara yang kami lakukan, memang hebat,” katanya.

“(Kini) fokus kepada Bournemouth. Kami tahu perlawanan esok akan menjadi sangat sukar dan semua pihak akan memberikan tentangan maksimum.”

Pengendali dari Sepanyol itu berkata beliau berpuas hati dengan kedudukan pasukannya pada separuh musim, namun menegaskan: “Ia sentiasa boleh menjadi lebih baik.

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan satu-satunya perkara yang kami tahu ialah setiap perlawanan seterusnya sentiasa mencabar, dan setiap lawan sukar untuk ditewaskan.”

Arsenal turut berdepan senarai kecederaan yang panjang musim ini.

Pertahanan Gabriel Magalhaes dan penyerang Gabriel Jesus sudah kembali beraksi, namun Arteta berkemungkinan sekali lagi terpaksa beraksi tanpa Declan Rice pada perlawanan menentang Bournemouth, awal pagi esok.

Pemain tengah England itu terlepas aksi menentang Villa akibat masalah lutut.

“Kami ada satu lagi sesi latihan hari ini,” kata Arteta. “Mari kita lihat keadaannya hari ini dan bagaimana perasaannya, tetapi perlawanan itu memang terlalu awal untuk dia.” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Slot akui musim Liverpool penuh ‘perjuangan berterusan’
Next: KRW FC gagal manfaat peluang, tewas 0-1 kepada Kuching City

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.