KUALA LUMPUR: Untuk menghasilkan sebuah lukisan, seorang remaja autisme, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 17, terpaksa menonton pelbagai saluran berita tempatan dan antarabangsa bagi memahami situasi berkenaan penularan pandemik COVID-19.
Keputusan itu diambil berikutan Wan Jamila atau lebih dikenali secara profesional sebagai Art Jamila menghadapi kekangan untuk keluar dari rumah akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ibunya, Noorhashimah Mohamed Noordin, 58, berkata secara tidak langsung tindakan itu akan memberi inspirasi kepada anak istimewanya itu dalam menggambarkan imej yang bermain di minda seterusnya diterjemahkan di atas kanvas putih.
“Adalah penting untuk Art Jamila memahami apa yang sedang berlaku dan kenapa tidak dapat menghabiskan masa di luar rumah seperti dahulu agar lukisan yang dihasilkan menepati matlamat yang dikehendaki.
Tambahan pula, seorang pengikut di laman Facebooknya sedang menanti-nantikan karya terbaharunya mengenai pandemik tersebut,” katanya kepada Bernama.
Ternyata usaha Art Jamila berbaloi apabila lukisannya yang bertajuk Our Heroes Series 1 itu berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan melukis poster yang dianjurkan Artdialogo Asia dengan kerjasama The Children Are Painting The World Social Fund yang berpangkalan di Kazakhstan, pada 5 Mei lepas.
Mengambil tema, ‘A Salute To All Frontliners Around The World’, lukisan akrilik Art Jamila memberikan gambaran pengorbanan barisan hadapan yang bekerja tanpa lelah sepanjang masa bagi membantu menangani penularan pandemik COVID-19.
Lebih menarik, Art Jamila adalah satu-satunya pelukis autistik dan berjaya mengalahkan peserta dari Korea Selatan, Kazakhstan, Lubnan dan Filipina di bawah Kategori B, yang terbuka untuk peserta berusia 13 hingga 19 tahun,
“Sudah tentu saya gembira dan bangga malah Art Jamila juga sangat teruja dengan kemenangannya itu dan terus menghasilkan lukisan sedemikian sehingga hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Noorhashimah berkata Art Jamila mengambil tempoh seminggu untuk menyiapkan keseluruhan lukisan mengikut gambaran yang telah diperoleh hasil daripada pengamatannya itu.
“Dia melihat ada ramai doktor, pesakit, hospital dan bermacam-macam lagi. Dia juga menggunakan warna-warna biru dan hijau dalam konteks karya ini bagi mewakili barisan hadapan,” katanya.
Noorhashimah berkata, Art Jamila akan menyampaikan apa yang terbuku di hati dan perasaan serta memori indah dalam hidupnya melalui coretan dalam kanvas putih sebagai satu medium utamanya untuk berkomunikasi.
Dengan kemenangan itu juga, lukisan akrilik Art Jamila akan dipamerkan secara digital dan diterbitkan di laman Facebook Artdialogo Asia dan The Children Are Painting The World Social Fund sebagai sebahagian daripada Kempen Penyembuhan Dunia Bersama, yang dilancarkan pada 8 Mei lepas.
Terus menuju ke hadapan, nama Art Jamila juga telah disenarai pendek dalam pertandingan melukis di peringkat global yang dilancarkan The Indian Council for Cultural Relations (ICCR) yang bertemakan ‘United Against Corona-Express Through Art’.
Dalam pertandingan itu, Art Jamila mempertaruhkan lukisan akriliknya yang bertajuk “Our Heroes Series 3” dan bakal bersaing hebat dengan pelukis amatur dan profesional dari seluruh dunia.–Bernama