KUCHING: Pembiayaan bagi Projek Transit Rapid Autonomi (ART) dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan dijangka beroperasi pada 2025.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kos projek ART itu jauh lebih rendah berbanding perancangan awal kerana kemajuan teknologi yang terpilih.
“Untuk aliran di Kuching, kosnya kurang daripada RM6 bilion,” katanya dan menambah, perancangan kos asal menelan belanja sekitar RM8 hingga RM10 bilion.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Usaha Sama antara UDA Holdings Berhad (UDA) dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkaitan pembangunan hartanah di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Mendedahkan sebuah syarikat ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak iaitu Metro Sarawak untuk melaksanakan projek itu, Abang Johari berkata pembangunannya secara berperingkat dijangka berjalan dalam tempoh masa selama tujuh tahun.
“Metro Sarawak yang baharu ditubuhkan sedang menyusun perincian seperti cadangan hentian, jalan raya untuk laluan dan stesen untuk sistem ART ini,” ujarnya.
Malah kata Abang Johari, jalan raya sedia ada sekiranya terlibat dalam projek itu akan diperluaskan berikutan ART tidak menggunakan landasan namun akan melalui sistem teknologi di jalan raya seperti kenderaan biasa.
Mendedahkan cadangan bagi lokasi stesen pusat ART akan terletak berhampiran Masjid Bandar Kuching, Abang Johari memberitahu, ia berada di lokasi ‘Padang Pasir’ di Jalan Kereta Api iaitu berhampiran dengan salah satu rel kereta api yang diwujudkan pada zaman dahulu.
“Itu (stesen pusat di Jalan Kereta Api) adalah Kuching Sentral (Pusat)… kemudian selebihnya hanyalah stesen bandar. Kita bina stesen dahulu baharu kita akan memesan ART (dari China),” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain mendedahkan ART bakal mula diuji di laluan Kuching terlebih dahulu seawal tahun 2023.
Menurutnya, dalam tempoh percubaan itu, keseluruhan sistem juga akan dilaksanakan sekali gus mempersiapkan laluan cadangan iaitu dari Kuching ke Samarahan dan Kuching ke Batu 12 (Kuching-Serian).
Oleh Diyana Samsuddin