Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Arsenal unggul enam mata, dua gol Gyokeres benam Fulham
  • SUKAN

Arsenal unggul enam mata, dua gol Gyokeres benam Fulham

Utusan Sarawak 8 hours ago
PENYERANG Arsenal, Viktor Gyokeres meraikan jaringan ketika membantu The Gunners menewaskan Fulham 3-0 di Stadium Emirates. – Foto AFP

LONDON: Viktor Gyokeres dan Bukayo Saka menyerlah ketika Arsenal membelasah Fulham 3-0, sekali gus membawa pendahulu Liga Perdana Inggeris itu selangkah lebih hampir menamatkan kemarau kejuaraan selama 22 tahun.

Anak buah Mikel Arteta memusnahkan Fulham yang longlai menerusi ledakan tiga gol babak pertama di Stadium Emirates.

Gyokeres meletakkan Arsenal di depan sebelum penyerang Sweden itu menambah gol kedua peribadi sejurus sebelum rehat, selepas Saka terlebih dahulu menggandakan kelebihan tuan rumah.

Kemenangan liga kedua berturut-turut itu melebarkan jurang Arsenal kepada enam mata di depan Manchester City yang menghuni tangga kedua.

Pasukan kendalian Pep Guardiola masih memiliki dua perlawanan dalam tangan, bermula dengan kunjungan ke Everton pada Isnin, namun aksi dominan Arsenal meletakkan City tanpa ruang melakukan kesilapan dalam perlumbaan kejuaraan yang semakin mendebarkan.

City boleh menyamai mata Arsenal jika memenangi semua baki perlawanan tertunggak, namun perbezaan jaringan mungkin menjadi penentu jika kedua-dua pasukan terus mengutip mata maksimum.

Arsenal, yang berbaki tiga perlawanan, memiliki kelebihan perbezaan jaringan +41 berbanding City +37 dengan lima perlawanan lagi.

Sering dikritik kerana sekadar menang tanpa persembahan meyakinkan musim ini, Arsenal kali ini mempamerkan bola sepak mengalir yang melambangkan pasukan calon juara sebenar.

Kepulangan Saka ke kesebelasan utama buat kali pertama sejak 22 Mac selepas pulih daripada kecederaan achilles nyata tepat pada masanya.

Pemain sayap England itu, yang hanya tampil sebagai pemain gantian dalam dua aksi minggu lalu, mempamerkan aksi cemerlang yang menunjukkan betapa Arsenal merinduinya selepas tewas tiga kali dalam lima perlawanan ketika ketiadaannya.

Sebelum ini, Arsenal tampak goyah apabila mensia-siakan kelebihan besar di puncak susulan kekalahan kepada City dan Bournemouth.

Namun selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle minggu lalu, Arsenal kini kelihatan kembali tenang, sekurang-kurangnya sehingga City berdepan Everton.

Arsenal terus garang

Arsenal kini mengalihkan fokus kepada misi memburu kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama, dengan aksi separuh akhir kedua menentang Atletico Madrid di London utara pada Selasa selepas terikat 1-1.

The Gunners tidak pernah tewas di laman sendiri kepada Fulham dalam 33 pertemuan liga, dan rekod itu jelas tidak terancam seawal babak pertama.

Arteta membuat kejutan dengan meletakkan bek kiri muda Myles Lewis-Skelly di bahagian tengah menggantikan Martin Zubimendi, dan percaturan itu menjadi.

Arsenal mendahului seawal minit kesembilan apabila Saka melakukan larian pantas melepasi Raul Jimenez sebelum menghantar bola lintang rendah yang mudah disudahkan Gyokeres.

Tekanan tanpa henti Arsenal terus menyesakkan Fulham, malah penjaga gol David Raya turut membantu dengan keluar jauh dari kawasan sendiri untuk mematahkan gerakan lawan.

Saka kemudian meledak gol kedua pada minit ke-40 hasil umpanan bijak Gyokeres, sebelum penyerang Sweden itu melengkapkan malam gemilangnya dengan tandukan tinggi daripada hantaran Leandro Trossard pada masa kecederaan babak pertama.

Ia merupakan gol ke-21 Gyokeres dalam semua pertandingan musim ini.

Arsenal sedikit memperlahankan rentak selepas Saka dikeluarkan pada waktu rehat bagi memastikan kecergasannya untuk aksi menentang Atletico.

Namun, kemenangan selesa itu cukup membuktikan kemaraan Arsenal dalam perebutan gelaran semakin sukar disekat. – AFP

Continue Reading

Previous: GP Miami ditangguhkan kerana ancaman ribut
Next: Jangan tekan Azizulhasni untuk berlumba di LA28 – Khairy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.