Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Arsenal sasar rampas takhta PSG yang memburu legasi kejuaraan
  • SUKAN

Arsenal sasar rampas takhta PSG yang memburu legasi kejuaraan

Utusan Sarawak 12 hours ago
PERTEMBUNGAN dua falsafah bola sepak bakal menghiasi final Liga Juara-Juara di Budapest apabila Arsenal kendalian Mikel Arteta (kanan) cuba menamatkan penantian kejuaraan Eropah pertama mereka, manakala PSG bimbingan Luis Enrique memburu gelaran kedua berturut-turut untuk mengukuhkan era dominasi baharu kelab Perancis itu. Foto AFP

BUDAPEST: Arsenal bertekad menakluk Eropah buat kali pertama dengan merampas mahkota Liga Juara-Juara daripada juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG), yang turut memburu gelaran kedua berturut-turut dalam aksi final di Budapest pada tengah malam Ahad ini.

Juara Perancis itu dilihat sebagai pilihan utama untuk mempertahankan trofi dan memulakan era dominasi baharu selepas berakhirnya zaman bintang-bintang besar mereka seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappé.

Jurulatih PSG, Luis Enrique, yang sedang memburu trofi Liga Juara-Juara ketiganya sebagai pengendali, melakukan rombakan besar selepas tiba pada 2023 dan berjaya membentuk pasukan yang mantap, bekerja keras serta menampilkan bola sepak berkualiti tinggi mengikut acuan beliau.

Luis Enrique membawa PSG ke separuh akhir pada musim pertamanya, kemudian menyingkirkan Arsenal pada peringkat sama musim lalu sebelum membelasah Inter Milan untuk menghadiahkan kelab Paris itu kejuaraan Eropah pertama mereka — selepas 14 tahun dan lebih €1 bilion (AS$1.2 bilion) dibelanjakan sejak pengambilalihan oleh Qatar Sports Investments.

Sebaliknya, Arsenal dibentuk secara beransur-ansur hampir tujuh tahun di bawah kendalian Mikel Arteta tanpa kekuatan kewangan luar biasa seperti PSG atau pencabar domestik mereka, Manchester City.

Musim panas lalu, Arsenal percaya skuad mereka sudah cukup matang untuk menjulang trofi dan memperkukuh beberapa posisi penting.

Hasilnya, The Gunners meraih gelaran Liga Perdana Inggeris pertama dalam tempoh 22 tahun serta kembali ke pentas final Eropah selepas dua dekad, sejak tewas kepada FC Barcelona pada final 2006 di Paris.

Kedua-dua pasukan hadir ke Hungary dengan reputasi berbeza. PSG merupakan pasukan paling prolifik dalam kejohanan dengan 44 gol, manakala Arsenal memiliki rekod pertahanan terbaik, hanya melepaskan enam gol dan masih belum tewas.

Pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembélé, yang dijangka cergas walaupun mengalami masalah betis, bersama Khvicha Kvaratskhelia dan Désiré Doué mengetuai jentera serangan PSG yang menewaskan Bayern Munich dengan agregat 6-5 di separuh akhir.

Arsenal pula lebih dikenali kerana semangat juang dan disiplin pertahanan mereka. Selain pemain sayap berbisa Bukayo Saka, gandingan pertahanan tengah Gabriel Magalhães dan William Saliba serta tonggak tengah Declan Rice menjadi tunjang utama pasukan.

Arteta dijangka menerima status ‘underdog’, cuba menyekat juara bertahan sambil memanfaatkan kelebihan mereka dalam situasi bola mati.

Dua pasukan terbaik Eropah

Walaupun memiliki gaya permainan berbeza, kedua-dua pasukan dianggap antara yang terbaik di Eropah musim ini hasil sentuhan dua jurulatih yang sangat teliti.

Luis Enrique terkenal dengan fleksibiliti taktikalnya dan tidak gemar pasukannya mudah dijangka.

“Saya fikir kita bercakap mengenai dua pasukan hebat — bersama Bayern Munich, tiga pasukan terbaik di Eropah,” kata beliau kepada UEFA.

“Kami perlu menyesuaikan cara bermain dan bertahan jika mahu mengatasi mereka.”

Selain Dembélé, bek kanan PSG, Achraf Hakimi, juga dijangka pulih tepat pada masanya, manakala pertahanan Arsenal, Jurriën Timber, masih diragui akibat kecederaan pangkal paha.

PSG turut mempunyai kelebihan dari segi kecergasan kerana pemain utama mereka bermain lebih sedikit minit berbanding pemain Arsenal sepanjang musim ini.

Luis Enrique juga kerap melakukan penggiliran pemain, manakala Arsenal terpaksa berjuang sehingga penghujung musim untuk mengesahkan kejuaraan liga.

Legenda Arsenal, Thierry Henry, mengakui bekas pasukannya hadir sebagai pencabar bukan pilihan menentang PSG yang memburu sejarah sebagai pasukan pertama dalam era moden Liga Juara-Juara selain Real Madrid untuk mempertahankan gelaran.

“Kami belum berada pada tahap mereka, jadi kami perlu merendah diri,” kata Henry kepada CBS Sports.

“PSG mempunyai pengalaman mengetahui bagaimana rasanya memenangi trofi ini.”

Henry pernah tewas dalam final bersama Arsenal pada 2006 sebelum menjulang trofi itu bersama Barcelona pada 2009.

Namun kejayaan Arsenal menamatkan penantian 22 tahun untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris mungkin memberi keyakinan tambahan kepada mereka untuk mencipta sejarah baharu.

“Mereka panggil kami gagal apabila tiba saat penting,” kata pemain muda Arsenal, Myles Lewis-Skelly, sambil mengangkat botol champagne ketika sambutan kejuaraan liga.

“Dan sekarang kami yang memegang botol itu.”

The Gunners berharap dapat membuka lebih banyak botol kemenangan pada malam final nanti. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Khai Xing-Aaron cipta kejutan, mara ke suku akhir Terbuka Singapura
Next: Mampukah Messi sekali lagi menyerlah buat Argentina pada Piala Dunia?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.