
Piero Hincapie (kanan) bersama pengurus Arsenal, Mikel Arteta ketika menandatangani perjanjian pinjaman semusim dari Bayer Leverkusen. – Foto arsenal.com
LONDON: Arsenal menandatangani pemain pertahanan Ecuador, Piero Hincapie secara pinjaman semusim dari Bayer Leverkusen awal pagi tadi.
Hincapie boleh melengkapkan perpindahan kekal ke Arsenal dengan harga £45 juta (RM257 juta) pada hujung kempen ini.
Pemain berusia 23 tahun itu membuat lebih 100 penampilan bersama Leverkusen sejak menyertai kelab Jerman itu pada 2021 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan menjuarai Bundesliga musim 2023-24.
Pengurus Gunners, Mikel Arteta percaya Hincapie akan memberi nilai tambah dengan kepelbagaian peranannya di benteng terakhir.
“Kami amat gembira mengalu-alukan Piero Hincapie ke kelab. Dia memiliki kekuatan fizikal yang nyata, dengan kepelbagaian serta fleksibiliti taktikal yang memberi kami lebih banyak pilihan secara bertahan,” kata Arteta.
“Dia seorang berperwatakan besar, dengan gabungan baik antara semangat muda dan kematangan. Kehadirannya akan menjadikan skuad kami lebih kuat dan lebih kompetitif sepanjang musim ini. Kami mengalu-alukan Piero serta keluarganya ke Arsenal.”
Hincapie merupakan pemain kelapan yang ditandatangani Arteta sejak berakhirnya musim lalu selepas ketibaan Viktor Gyokeres, Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke, Kepa Arrizabalaga, Cristhian Mosquera dan Eberechi Eze.
Hincapie sudah membuat 46 penampilan untuk Ecuador, termasuk beraksi pada Piala Dunia 2022 serta Copa America 2021 dan 2024.
Dia memilih untuk menyarung jersi nombor 5 di Arsenal dan akan menyertai kelab baharunya selepas pulang daripada tugasan antarabangsa bersama Ecuador. – AFP