Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, masih belum memenangi sebarang trofi sejak kejayaan Piala FA 2020. Foto AFP
LONDON: Mikel Arteta mencabar Arsenal supaya membuktikan mereka memiliki karakter untuk mengharungi kekalahan 2-3 kepada Manchester United yang menghidupkan semula saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Pasukan kendalian Arteta berpeluang melebarkan jurang kepada tujuh mata di puncak liga sekiranya menang di Stadium Emirates awal pagi tadi, namun mereka mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan kempen kejuaraan.
Gol sendiri Lisandro Martinez meletakkan Arsenal di hadapan sebelum Bryan Mbeumo menyamakan kedudukan pada penghujung separuh masa pertama.
Manchester United mendahului selepas rehat hasil rembatan jarak jauh berkualiti tinggi Patrick Dorgu, sebelum Mikel Merino merapatkan kedudukan buat Arsenal di minit-minit akhir perlawanan.

Namun beberapa minit selepas Merino menjaringkan gol susulan kesilapan penjaga gol United, Senne Lammens, penyerang Brazil, Matheus Cunha, mengejutkan The Gunners dengan rembatan kencang dari jarak 25 meter.
Daripada memiliki kelebihan selesa dalam perebutan kejuaraan, Arsenal kini hanya mendahului empat mata berbanding Manchester City di tempat kedua dan Aston Villa di tangga ketiga, yang menewaskan Newcastle 2-0.
“Perbezaannya sangat kecil dan kami menjadikannya lebih kecil. Sekarang kami perlu memberi reaksi dan melihat siapa diri kami sebenarnya,” kata Arteta.
“Hari ini kami tidak berada pada tahap terbaik dan kami membayar harganya. Kami seolah-olah menghadiahkan perlawanan ini kepada mereka.
“Kami memberi mereka satu gol yang jarang berlaku dan amat menyakitkan, kemudian mereka memiliki dua detik luar biasa dengan jaringan yang hebat. Kami tidak beraksi pada tahap terbaik.
“Dalam 30 minit pertama, kami menguasai sepenuhnya perlawanan dan menjaringkan gol, tetapi selepas itu terlalu kerap kami kehilangan bola di kawasan penting. Kami mula hilang kawalan dan dominasi sehingga perlawanan menjadi kucar-kacir.”
Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Arsenal dalam 13 perlawanan terakhir semua kejohanan sejak tewas kepada Aston Villa pada Disember lalu.
The Gunners turut mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam tempoh 18 perlawanan semua kejohanan sejak tewas kepada Bournemouth pada Mei lalu.
Arsenal masih mengawal nasib sendiri, namun keputusan seri tanpa jaringan menentang Liverpool dan Nottingham Forest sebelum ini sudah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong, dan kekalahan ini menjadi satu lagi keputusan membimbangkan buat Arteta.
Arteta masih belum memenangi sebarang trofi sejak menjulang Piala FA 2020, manakala Arsenal yang kemarau kejuaraan liga selama 22 tahun kini berdepan ujian mental dalam beberapa minggu akan datang selepas beberapa kali mensia-siakan kelebihan besar di puncak liga pada musim-musim lalu.
“Para pemain telah memberikan kami begitu banyak kegembiraan dan prestasi yang cemerlang, mereka berhak diingatkan betapa bagusnya mereka,” katanya.
“Kami perlu belajar daripadanya. Kekalahan adalah sebahagian daripada kejayaan dan anda perlu menerimanya serta mengingatkan pemain betapa hebatnya mereka. Apabila anda seri, gagal menang atau tewas, di situlah anda perlu menunjukkan kebersamaan dan perpaduan.
“Untuk sampai ke tahap yang kami mahukan, kekalahan adalah sebahagian daripada proses itu, sama seperti pasukan lain.” – AFP