
NOTTINGHAM: Arsenal melebarkan jurang pendahuluan Liga Perdana Inggeris kepada tujuh mata meskipun gagal memecahkan benteng Nottingham Forest dalam keputusan seri tanpa jaringan 0-0 di City Ground, awal pagi tadi.
The Gunners berpeluang menjauhkan kelebihan kepada sembilan mata selepas pencabar terdekat, Manchester City, tewas 0-2 kepada seteru setempat Manchester United dalam perlawanan malam tadi.
Namun, anak buah Mikel Arteta membayar harga atas prestasi hambar pada separuh masa pertama apabila Forest beraksi kental untuk mengutip satu mata penting, sekali gus meningkatkan peluang mereka kekal di liga.
Biarpun gagal meraih kemenangan, Arsenal kekal berada dalam kedudukan terbaik untuk menamatkan penantian 22 tahun menjulang kejuaraan liga.
Pengurus Forest, Sean Dyche, sebelum ini mengkritik hebat pasukannya susulan kekalahan memalukan kepada pasukan divisyen dua, Wrexham, dalam saingan Piala FA minggu lalu.
Kali ini, Dyche menerima reaksi yang diharapkannya apabila pasukan tuan rumah berjuang habis-habisan dan kini lima mata di atas zon penyingkiran.
City pula gagal memberi tekanan kepada Arsenal selepas melalui empat perlawanan liga tanpa kemenangan sejak awal tahun.
Namun, dua keputusan seri tanpa jaringan berturut-turut menentang Liverpool dan Forest menghalang Arsenal daripada membina jurang lebih besar.
Aston Villa yang berada di tempat ketiga berpeluang merapatkan jurang kepada empat mata sekiranya menewaskan Everton pada Ahad.
Arsenal tidak mencatatkan sebarang percubaan tepat ke sasaran pada separuh masa pertama.
Hanya selepas Arteta memasukkan pemain simpanan berkualiti pada babak kedua barulah Forest mula tertekan.
Leandro Trossard dimasukkan sebaik separuh masa kedua bermula, diikuti Bukayo Saka, Mikel Merino dan Gabriel Jesus sebelum minit ke-60.
Saka hampir memecah kebuntuan apabila tandukannya hasil hantaran Declan Rice ditepis cemerlang oleh penjaga gol Forest, Matz Sels.
Merino turut berpeluang menjaringkan gol tetapi gagal menyudahkan sepakan percuma Rice dengan tepat.
Pertahanan kukuh Arsenal sekali lagi menjadi sandaran apabila mereka mencatatkan rekod 11 perlawanan tanpa bolos daripada 22 aksi liga musim ini, cukup untuk memastikan mereka terus selesa di puncak liga. – AFP