Pemain pertahanan Arsenal, Jurrien Timber (kiri) meraikan jaringan kemenangan ketika menentang Chelsea di Stadium Emirates. – Foto AFP
LONDON: Arsenal memenangi ‘perang’ situasi bola mati untuk menewaskan Chelsea 2-1 sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana sebentar tadi.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu meledak dua gol menerusi sepakan penjuru, namun turut bolos dengan cara sama dalam aksi penuh dramatik di Stadium Emirates.
Arsenal terlebih dulu di depan pada babak pertama apabila tandukan William Saliba terkena pemain lawan sebelum menerjah gawang.
Chelsea bangkit menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Piero Hincapie berpunca daripada sepakan penjuru berbisa kapten pelawat.
Bagaimanapun, Jurrien Timber muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada separuh masa kedua, sebelum Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah terhadap Pedro Neto.
Kemenangan kedua berturut-turut liga itu mengembalikan kelebihan lima mata Arsenal ke atas pencabar terdekat, Manchester City yang masih berbaki satu perlawanan.
The Gunners kini berbaki sembilan aksi dalam usaha memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004, dengan kunjungan getir ke Etihad pada 18 April berpotensi menjadi penentu.
Chelsea pula terus bergelut apabila gagal menang dalam tiga perlawanan terakhir, sekali gus menjejaskan peluang memburu slot Liga Juara-Juara musim depan. – AFP