
LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal bakal berdepan ujian getir dalam misi memburu kejuaraan apabila menerima kunjungan seteru London,Chelsea di Stadium Emirates, Ahad ini.
Kemenangan 4-1 ke atas Tottenham minggu lalu menghidupkan kembali kempen The Gunners selepas mereka diikat 2-2 oleh Wolves sebelum itu.
Kebangkitan itu dikatakan berpunca daripada pertemuan tertutup pemain yang diadakan sebelum aksi derbi London Utara berkenaan.

Hasilnya, Viktor Gyokeres dan Eberechi Eze masing-masing meledak dua gol untuk memastikan Arsenal kembali selesa dengan kelebihan lima mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.
“Kami bercakap secara tegas dan jujur. Jika tidak jujur, sukar untuk meningkat,” kata Gyokeres menjelang pertembungan menentang Chelsea.

City enggan mengalah
Dalam pada itu, pengendali City, Pep Guardiola memberi amaran bahawa pasukannya tidak akan menyerah kalah dalam perebutan takhta.
City yang menewaskan Newcastle 2-1 minggu lalu masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan akan bertemu Arsenal pada April nanti.
“Jangan pernah berputus asa. Masih banyak perlawanan berbaki,” tegas Guardiola menjelang aksi menentang Leeds.
Jika City memenangi baki 11 perlawanan, kejuaraan pasti menjadi milik mereka tanpa mengira keputusan Arsenal.

Spurs dalam bahaya
Sementara itu, Tottenham Hotspur semakin terhimpit dan tidak boleh lagi keciciran mata ketika bertandang ke Fulham.
Kekalahan 4-1 kepada Arsenal dalam aksi pertama di bawah kendalian interim Igor Tudor meletakkan Spurs hanya empat mata di atas zon penyingkiran.
Dengan baki 11 perlawanan, Tudor yakin masih ada masa untuk menyelamatkan musim mereka.
“Masih cukup masa. Kami perlu kekal rendah diri dan menjadi pasukan yang bekerja keras,” katanya.
Aksi hujung minggu ini bakal menentukan hala tuju perebutan kejuaraan dan juga nasib beberapa pasukan yang bergelut di kelompok bawahan. – AFP