Doku muncul penyelamat Manchester City dengan gol saat akhir ketika seri 3-3 menentang Everton. Foto AFP
LIVERPOOL: Arsenal kini semakin hampir menjulang kejuaraan selepas pencabar utama, Manchester City, sekadar seri 3-3 menentang Everton dalam aksi dramatik, awal pagi tadi.
Gol saat akhir oleh Jeremy Doku menyelamatkan satu mata buat City, namun keputusan itu memberi kelebihan besar kepada Arsenal dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris.
Skuad kendalian Mikel Arteta kini hanya perlu memenangi tiga baki perlawanan untuk menamatkan kemarau 22 tahun tanpa gelaran liga.
City yang dibimbing Pep Guardiola ketinggalan lima mata di belakang Arsenal, meskipun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Pada perlawanan itu, City dilihat selesa mendahului menerusi jaringan Doku sebelum babak kedua menyaksikan kealpaan benteng mereka dihukum.
Thierno Barry meledak dua gol buat Everton, manakala Jake O’Brien turut mencatat nama sebagai penjaring untuk tuan rumah.
City bagaimanapun bangkit menerusi jaringan Erling Haaland sebelum Doku muncul wira dengan gol penyamaan minit ke-97.
Guardiola mengakui peluang kini tidak lagi di tangan mereka, namun tetap berharap pasukannya mampu bangkit dalam baki saingan.
Arsenal dijadual bertemu West Ham United sebelum melayan Burnley dan menutup musim menentang Crystal Palace. – AFP