Arteta memeluk Saka selepas Arsenal menewaskan Atletico Madrid dan mengesahkan tempat ke final Liga Juara-Juara. Foto AFP
LONDON: Arsenal kini hanya selangkah mencipta sejarah selepas melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Pengurusnya, Mikel Arteta, menggesa skuad The Gunners menggunakan “tenaga dan kepercayaan” yang terhasil daripada kejayaan itu untuk memburu kejuaraan berganda musim ini.
Kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Emirates, awal pagi tadi, memastikan Arsenal mara dengan agregat 2-1.
Jaringan tunggal Bukayo Saka pada separuh masa pertama sudah cukup untuk menghantar kelab London itu ke pentas final, kali pertama sejak tewas kepada Barcelona pada 2006.
Lebih menarik, Arsenal kini berpeluang mencipta musim paling gemilang dalam sejarah 140 tahun kelab itu apabila turut hampir menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2004.
Arteta berkata, kejayaan ini hadir hasil kesatuan luar biasa antara pemain dan penyokong.
“Semua orang boleh rasa perubahan dari segi tenaga dan kepercayaan. Kita perlu gunakan dengan cara yang betul kerana cabaran di depan sangat besar,” katanya.
Dalam final di Budapest pada 30 Mei, Arsenal bakal berdepan sama ada Paris Saint-Germain atau Bayern Munich.
Jika berjaya menjuarai kedua-dua trofi, ia akan menjadi pencapaian terhebat dalam sejarah kelab itu. – AFP