LONDON: Mikel Arteta memuji pasukannya kerana tidak hilang keyakinan atau kawalan selepas ketinggalan dua gol untuk meraih kemenangan 4-2 ke atas Leicester lewat malam tadi.
Gol sendiri Wilfred Ndidi dan penyudah Kai Havertz pada masa tambahan membolehkan Gunners berkongsi mata dengan Manchester City di kedudukan kedua liga.
Arsenal kelihatan menguasai perlawanan apabila gol daripada Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard membolehkan mereka mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama di Emirates.
Bagaimanapun, James Justin mengejutkan anak buah Arteta dengan dua gol dalam 18 minit pertama separuh masa kedua.
Arsenal menggempur pintu gol Leicester untuk mencari gol kemenangan dan akhirnya menjumpai jalan keluar apabila Ndidi mengubah hantaran Trossard ke dalam gawangnya sendiri.
“Saya sangat gembira dengan cara pasukan bertindak balas apabila situasi menjadi sangat sukar dengan dua gol yang tidak dijangka membawa perlawanan kembali hidup.
“Kami termasuk penyokong menunjukkan kawalan emosi yang luar biasa, banyak keyakinan dalam apa yang kami lakukan secara berterusan serta keberanian ditunjukkan pada akhir perlawanan untuk mencari jalan kemenangan,” kata Arteta.
Arsenal berada pada tahap berbeza ketika mereka dan City meraih keputusan seri 2-2 dalam pertembungan sengit antara pencabar gelaran.
Arteta memuji pertahanan pasukannya sebagai bukti tambahan bahawa mereka bersedia untuk meneruskan perjuangan merebut gelaran dengan City selepas menamatkan saingan di tempat kedua selama dua musim lalu.
“Untuk mempunyai mentaliti, tujuan, dan ketekunan seperti itu adalah sangat mengagumkan kerana mudah untuk berkata demikian tetapi sangat sukar untuk melakukannya di atas padang.
“Saya fikir penyokong kami, peminat, sangat luar biasa dalam hal itu, menciptakan suasana keyakinan, tenaga dan bukan ketakutan biasa atau rasa tidak selamat. Jadi terima kasih banyak kerana mereka banyak membantu pasukan untuk mendapatkan mata,” kata pengendali dari Sepanyol itu. – AFP