LAWAS: Arkitek yang dilantik kerajaan untuk menyediakan pelan dan reka bentuk sesuatu projek di Sarawak perlu turun padang bagi memahami keadaan serta keperluan sebenar di setiap lokasi.
Langkah itu penting bagi memastikan reka bentuk dan pelan projek yang dirancang benar-benar bersesuaian dengan keadaan setempat serta memenuhi keperluan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa pandangan ini berdasarkan kepada pemerhatian dan hasil kerja yang telah siap dilaksana tetapi gagal dari aspek yang sewajarnya.
“Ya, inilah yang sepatutnya diambil kira oleh semua arkitek yang kita lantik, bukan sekadar memastikan reka bentuk itu kelihatan cantik di atas kertas, tetapi yang lebih penting ialah aspek kepraktisan projek. Perkara itu perlu diberi perhatian. Sebab itu, saya mahu arkitek yang kita lantik turun padang untuk melihat sendiri tapak projek.”

“Dari segi prinsip, apabila kita mahu merancang sesuatu, pertama, ia mestilah berfungsi dan praktikal. Ketiga, ia mestilah selamat dan keempat, cantik serta indah. Itu prinsip yang perlu kita pegang dalam membuat sesuatu perancangan.
“Dalam kes penyimpanan sampah ini, ia diletakkan betul-betul di hadapan, di pintu masuk, seolah-olah kita mahu menyambut pelanggan dengan keadaan seperti itu.
“Dari segi kepraktikannya, ia sudah tidak sesuai, manakala dari segi keindahannya juga sudah jauh tersasar,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Anjung Usahawan Kampung Noor Islam petang semalam.
Seterusnya Awang Tengah mahu agar pandangan ini dapat dimanfaatkan dalam memastikan seluruh perlaksanaan projek kerajaan itu menepati keperluan disetiap kawasan berbeza.
Malahan beliau juga mahu agar setiap agensi terlibat untuk sedia tampil memberi input yang berguna sebelum sesuatu projek itu dilaksanakan.
Awang Tengah melawat ke Sekolah Kebangsaan Kuala Lawas yang turut melalui proses baik pulih melalui peruntukan Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA).
Beliau turut bertemu mesra dengan pelajar sekolah sebelum meneruskan lawatan melihat ke kawasan disekitar tebing Sungai Kuala Lawas.
Oleh Adeng Edrus





