Arkib Negara perlu perluas akses bahan sejarah

Facebook
WhatsApp
MENTERI Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berucap pada Majlis Syarahan Negarawan: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Wisma Melayu Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Arkib Negara Malaysia (ANM) perlu memperluas akses masyarakat terhadap bahan sejarah supaya khazanah berkenaan bukan sekadar disimpan, tetapi dapat difahami dan dimanfaatkan oleh rakyat.

Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, peranan ANM penting dalam memelihara rekod sejarah dan memori kolektif negara untuk rujukan generasi kini dan akan datang.

Katanya, pendekatan terhadap pengurusan arkib perlu berubah seiring perkembangan semasa dengan memberi lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk mengakses dan menghayati bahan sejarah.

“Sudah tiba masanya Arkib Negara Malaysia melangkah ke era baharu kerelevanan daripada sekadar menyimpan sejarah kepada merakyatkan sejarah.

“Kerana arkib yang hidup ialah arkib yang boleh diakses, difahami dan dimiliki bersama oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Syarahan Negarawan bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Wisma Melayu Sarawak, di sini, hari ini.

Aaron berkata, sejarah turut mempunyai peranan dalam pembinaan negara bangsa kerana ia membantu masyarakat memahami identiti, pengalaman dan nilai yang dikongsi bersama.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia, Sarawak mempunyai sejarah, warisan dan identiti tersendiri, manakala pembentukan Malaysia berteraskan persetujuan dan perkongsian melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, katanya, memahami sejarah Malaysia penting bagi membolehkan masyarakat mengenali akar sejarah yang berbeza serta memahami pengalaman yang dikongsi sebagai sebuah negara.

Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara akan terus memperluas ruang wacana berkaitan sejarah dan pembinaan negara bangsa, termasuk menerusi Persidangan Negara Bangsa yang dijadualkan berlangsung pada 30 November ini.

Dalam pada itu, Aaron berkata, pendekatan memperluas akses terhadap sejarah turut dilaksanakan di beberapa negara melalui pendigitalan bahan arkib dan penglibatan masyarakat.

Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan keperluan untuk memastikan bahan sejarah dapat diakses dan difahami oleh masyarakat, khususnya generasi muda.

Majlis Syarahan Negarawan itu dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui ANM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Pustaka Negeri Sarawak, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak.

Program berkenaan merupakan antara tiga program utama sempena Sambutan Jubli Emas 50 tahun ANM Negeri Sarawak, selepas Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 yang berlangsung pada 29 dan 30 September serta Majlis Polemik Sejarah Malaysia Kali Ke-56 yang diadakan pada petang ini.