KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad membina kerjaya di United Kingdom (UK), penyanyi dan penulis lagu Ariff AB kini mengintai peluang untuk memperkenalkan karya terbaharunya kepada peminat muzik tanah air.
Ariff atau nama sebenarnya Ariff Abu Bakar, 35, berkata beliau biasanya pulang ke tanah air selama tiga hingga empat bulan untuk bercuti, di samping melihat potensi kembali bekerjasama dengan penggiat industri tempatan.
Membawakan muzik alternatif bergenre Indie Freak Folk dengan kebanyakan karya dihasilkan dalam bahasa Inggeris, artis ini bagaimanapun mengakui agak sukar mendapat tempat di Malaysia kerana pasaran negara ini lebih tertumpu pada lagu berbahasa Melayu dan muzik yang mengikut trend semasa.
“Jika ada peluang di sini, saya akan menerimanya dan sekarang saya masih menunggu mana-mana platform di Malaysia yang mahu memperkenalkan lagu baharu saya,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang kini berada di Malaysia hingga September berkata pengalaman bergerak sebagai artis bebas di UK mengajarnya bahawa seorang pemuzik tidak boleh hanya menunggu syarikat rakaman atau pihak pengurusan menawarkan peluang, sebaliknya perlu membina komuniti sendiri, konsisten menghasilkan karya dan berani memperkenalkan muzik kepada khalayak baharu.

“Kalau artis mahu keluar dari Malaysia, mereka perlu melakukannya sendiri dan mengambil masa untuk membina kerjaya. Jangan hanya menunggu.
“Mulakan dengan membuat persembahan, kumpulkan wang dan cuba dahulu. Lama-kelamaan kerjaya, kemahiran sosial dan keyakinan akan berkembang sehingga kita mampu menyesuaikan diri,” katanya.
Ariff berkata Malaysia mempunyai ramai artis berbakat, namun sebahagian daripada mereka masih kurang berani keluar daripada zon selesa dan mencuba pasaran antarabangsa.
Beliau berkata usaha itu memerlukan pengorbanan kerana artis perlu menyesuaikan diri dengan budaya setempat, membina jaringan dan bersaing dengan pemuzik tempatan.
Anak ketiga daripada empat beradik itu turut menggalakkan artis tempatan yang mengadakan persembahan di luar negara agar meningkatkan jangkauan penonton daripada pelbagai latar belakang dan tidak bergantung pada khalayak dari negara sendiri, sebagai usaha memperluas karya kepada komuniti antarabangsa.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, beliau kini sedang menyiapkan album ketiganya, “We Are Wolves”, yang memuatkan 12 lagu ciptaan sendiri dan dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini dengan single Rise Again akan diperkenalkan terlebih dahulu pada Oktober.

Bagi memperkenalkan karya itu, Ariff bersama-sama dengan pasukannya dijadual memulakan siri jelajah di London, Bristol, Leeds, Norwich dan Brighton pada 9 Okt ini, manakala program BBC Music Introducing turut menawarkan ruang untuk memperdengarkan single baharunya di UK.
Mengagumi Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, selain pernah bekerjasama dengan penyanyi dan penulis lagu Aurora Aksnes dari Norway serta Charlotte OC dari UK, Ariff menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan Datuk Amy Search dan Datuk M. Nasir bagi menghasilkan karya yang menggabungkan sentuhan dua generasi.
Beliau turut menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu anugerah dalam industri muzik UK sebelum mencuba pasaran Amerika Syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Harapan saya adalah untuk menjadi antara artis lelaki Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. UK bukan destinasi terakhir saya dan selepas mencapai sasaran di sana, saya mahu mencuba pula di New York atau Los Angeles,” katanya.
Selain muzik, pemegang diploma dalam perniagaan dan muzik daripada International College of Music serta ijazah dalam penyiaran daripada International Advertising, Communication and Technology College itu turut menguruskan kerjaya tinju adiknya Aiman Abu Bakar yang kini bergelar juara kategori super featherweight World Boxing Council (WBC) Asia. – Bernama




