Oleh: Mohidin Haji Malek
SEBATANG pokok yang akarnya yang menunjang kejap menjadi teras keutuhan dan kemandiriannya walau dalam apa-apa suasana sekali pun. Andai akar yang menunjang serta melilit bumi kejap, pokok tidak akan goyah walau dilanda bencana. Demikian juga halnya dengan bahasa sesuatu bangsa. Kekuatan sesebuah bahasa amat bertaut rapat dengan sikap dan pendirian penuturnya. Penguasaan bahasa yang baik, bagi seseorang penulis, menyerlahkan keindahan sesebuah karya di samping mampu menyalurkan atau menyampaikan pemikiran, falsafah dan mesej dengan berkesan kepada khalayak pembaca. Wajar diingati bahawa menghasilkan sesebuah karya bukan untuk memenuhi tuntutan dan keseronokan peribadi semata-mata, akan tetapi untuk memenuhi tuntutan dan kehendak masyarakat, khususnya khalayak penggemar sastera.
Dalam dunia pengkaryaan, bahasa berupa wahana yang penting dalam penukilan apa-apa juga karya dalam mana-mana juga genre. Lantaran hal yang sedemikian, penguasaan bahasa yang baik menjadi kriteria utama seandainya seseorang ingin menjadi penulis yang berjaya. Kekuatan dalam konteks pemilihan diksi, pengolahan frasa dan ayat serta kebijaksanaan menyulam kata-kata sehingga melahirkan ayat-ayat yang mampu menyentuh jiwa pembaca berupa kemahiran yang menjadi pengukur keindahan sesebuah karya di samping penitipan gagasan, pemikiran serta falsafah yang bemanfaat untuk membentuk bukan sahaja peribadi pembaca, akan tetapi lebih daripada itu, mengubah corak pemikiran masyarakat secara keseluruhan sehingga berubah ke arah kebaikan. Hal yang sedemikian itulah sebenarnya tujuan sesebuah karya dihasilkan.
Apabila berbicara tentang sajak, genre ini berbeza daripada gaya prosa dalam karya kreatif yang lain. Dalam penghasilan sajak, pengkarya memampatkan atau memadatkan isinya dalam ruang yang ‘sempit’ atau terbatas. Namun, dalam keterhadan ruang berkenaan, terungkap sebuah pengkisahan atau curahan idea yang padat dan lengkap. Dengan erti kata yang lain, andai dalam konteks pengkaryaan sebuah cerpen, ada permulaan, bahagian penceritaan (paparan konflik dan seumpamanya) dan pengakhirannya, penukilan sesebuah sajak juga turut memberi perhatian terhadap aspek-aspek berkenaan.
Lantaran itu, penghasilan karya berbentuk sajak menuntut kebijaksanaan penulisnya, bukan sahaja dari aspek mencurahkan idea atau sari fikirnya, akan tetapi turut menuntut kearifan memilih diksi yang bersesuaian agar mudah difahami, memampatkan idea, dan menitip unsur pengajaran agar pembaca mampu ‘terasa’ dan menjiwai mesej yang ingin disampaikan. Hal-hal yang sedemikian itu bukannya perkara yang mudah. Namun demikian, tidak pula mustahil untuk dikuasai dengan banyak membaca dan menaakuli karya-karya penulis lain yang lebih mapan dan berwibawa.
Persepsi tipikal pengkarya sajak lebih berfokus kepada aspek keindahan bahasa. Dalam pengertian berbeza, cuba menerapkan ungkapan-ungkapan yang bombastik dan berbunga sehingga melupakan aspek penceritaan dan mesej. Lantaran itu, sajak-sajak yang dihasilkan menjadi polos, dangkal dan biasa-biasa sifatnya. Penyeimbangan dan penyetaraan aspek-aspek ini amat dituntut untuk menjelmakan sebuah sajak yang bukan sahaja indah, akan tetapi memiliki jalan cerita yang lengkap dan sarat dengan mesej yang tersirat. Ketidakseimbangan dalam penampilan ciri-ciri ini akan merencatkan keindahan dan kebermaknaan sebuah karya yang disebut sajak.
Oleh itu, untuk menjadi penulis atau pengkarya sajak, bukan mudah. Prosesnya memakan masa yang agak panjang dan memerlukan kekuatan dari segi mental. Seseorang yang ingin menjadi penyajak perlu tahan dan berani menghadapi apa-apa cabaran, sedia menerima teguran yang membina dan bermanfaat, serta tidak mudah berputus asa. Terus-menerus berkarya untuk ‘menajamkan’ iris pandang fikiran dan menyelami segara akal yang banyak menyimpan khazanah untuk diselongkari. Selain itu, sentiasa mencari ‘pembaharuan’ dalam karya, sama ada dari segi sudut pandang atau gagasan idea.
Penulis tertarik dengan kata-kata pendeta Za’ba, bahawa puisi atau karangan berangkap, ‘khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini, perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya’. Tambah beliau, ‘karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan antara sekerat dengan sekerat itu, biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu’.
Andai ditaakuli serta diteliti dengan mendalam, terlihat dua ciri utama puisi daripada huraian berikut, iaitu, sifat abstraknya, seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi, dan, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.
Mengambil ingatan akan pandangan tersebut, penulis makalah tertarik untuk membicarakan tiga buah sajak yang disiarkan dalam ruangan ini minggu lalu. Sajak-sajak berkenaan ialah “Harga dalam Jangkauan” yang dihasilkan oleh Gracella Ruran, “Masa Lampau, Masa Depan” karya Adie Abd Gani, dan “Sedang Menua” nukilan Niniefadzillea Iswandi. Ketiga-tiga buah sajak ini cuba mengangkat tentang aspek kehidupan yang dilalui oleh mereka masing-masing namun dalam konteks atau sisi yang berbeza.
Melalaui sajak “Harga dalam Jangkauan”,Gracella cuba mengangkat persoalan memaknakan kehidupan. Dalam konteks ini, pengkarya mencari aspek nilai kebahagiaan yang memaknakan kehidupan yang dilaluinya. Sajak ini mudah dan tidak memerlukan penyelaman yang mendalam untuk memahaminya. Penukilannya sederhana dan lebih memperlihatkan sifat prosaik dari segi ‘penceritaannya’.
Sajak yang terdiri daripada 4 rangkap ini, boleh diringkas dan dipadatkan menjadi hanya satu rangkap melalui lewat proses pemurnian dengan mengambil kira aspek korelasi antara baris serta idea utama sajak. Contohnya seperti yang berikut:
Pada suatu pencarian
kutemui jawapan
makna kebahagiaan
lewat perkasihan
sejagat sentuhannya
Dalam sajak asal, aspek pengulangan idea yang berlaku pada rangkap pertama dan kedua, manakala rangkap ketiga dan keempat berupa penerangan terhadap unsur yang menerbitkan makna kebahagiaan yang boleh dipadatkan dalam dua baris, iaitu “lewat perkasihan/sejagat sentuhannya”. Hal sedemikian itu sekadar contoh dan tidak semestinya diterima secara total oleh pengkarya.
Secara tuntasnya, Gracellaberpotensi untuk menghasilkan karya yang bermutu pada masa hadapan seandainya dapat menguasai kemahiran memampatkan idea. Sama-sama kita imbau sajak yang Gracella nukilkan seperti yang berikut;
Harga dalam Jangkauan
Ku mencari-cari makna kebahagiaan
Merealisasikan otak mencari jawapan
adakah itu kekayaan
adakah itu kejayaan
Namun saatku memandang persekitaran
melihat karya Maha Esa
ku rasa ku mendapat jawapannya,
Kebahagiaan yang kucari-cari selama ini.
Burung berkicau di angkasa biru
semilir angin mengusap pipi dengan lembut
padi kuning yang mempesona di sawah luas,
mengajakku menghargai keajaiban setiap saat.
Namun kebahagiaan sejati
tak terbatas pada itu
tapi juga hadir
dalam relasi manusia dengan manusia
saling mendukung, mencintai
dan memahami
membangun dunia
yang lebih baik dengan penuh kasih.
Harga sememangnya dalam jangkauan.
Sajak kedua, “Masa Lampau, Masa Depan” karya Adie Abd Gani, turut mengangkat persoalan kehidupan. Namun, Adie cuba menerjah kembali lewat bingkai waktu untuk menilai jejak hidup yang telah dilalui, khususnya kesilapan yang pernah dilakukan dan pada masa yang sama cuba mencatur jalan hidup masa hadapan dengan mengambil iktibar daripada kesilapan masa lalu.
Sajak tiga rangkap ini mudah di samping menitip pemikiran yang bukannya baharu, akan tetapi lazim diperkatakan oleh pengkarya-pengkarya sebelum ini. Pengkarya cuba lari daripada pola kebiasaan dengan mengguna pakai kata “galaksi” untuk menerangkan ruang waktu dalam rangkap pertama. Namun demikian, kembali menapak laluan tipikal dalam rangkap kedua dan ketiga. Adie tidak meneruskan “eksplorasi” ke galaksi dari segi perlambangan, misalnya buruj dan seumpamanya. Lantas berlaku perlambangan yang celaru.
Dari segi pemilihan diksi, Adie perlu berhati-hati, terutamanya dari segi ejaan. Misalnya perkataan “kulah” dalam rangkap kedua, yang menurut Kamus Dewan, membawa erti sejenis kopiah tinggi atau ketopang. Melihat akan binaan ayat baris tersebut, perkataan yang dimaksudkan ialah sejenis kolam berbentuk segi empat dibuat daripada batu dan simen (untuk menakung air). Pada masa akan datang, Adie perlu membuat rujukan terlebih dahulu sebelum mengguna pakai sesuatu perkataan. Biarpun nampak kecil, akan tetapi hal yang sedemikian mampu merencatkan keindahan sesebuah karya yang telah menyimpang dari konteks pemaknaan. Masih wujud ruang bagi Adie untuk melakukan pemurnian bagi membaiki sajak beliau agar lebih padat dan indah, di samping sarat pemikiran. Dikongsikan sajak nukilan beliau seperti yang berikut;
Masa Lampau, Masa Depan
Aku langkau medan masa,
untuk menyeberang galaksi
kembali ke masa lampau
sebelum terealisasi risau dan igau.
Mundurnya aku,
dalam waktu yang satu
hanya untuk menyapa
diriku yang alpa
biar kehabisan tidak air di kulah
aku buang, aku curah
dek guruh yang marah.
Masa depan juga kuterjah,
ingatkan aku yang malar lengah
jadikan hitam sejarah itu padah
agar berulang tidak masalah.
Sajak ketiga, “Sedang Menua” karya Niniefadzillea Iswandi mengetengahkan tentang pergerakan usia yang sememangnya suatu perkara yang pasti berlaku. Berbicara sesuatu yang bersifat umum memerlukan keupayaan pengkarya untuk menampilkan sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Perkara ini amat sukar, ibarat memancing ikan kelah. Kemahiran serta kesabaran tahap tinggi diperlukan. Namun seandainya mampu diperoleh, akan menjadi suatu pegalaman yang sukar dilupakan serta menjadi ingatan.
Menatap karya Niniefadzillea, timbul pertanyaan tentang usia pengkarya ini. Hal ini ada sangkut pautnya dengan kekuatan karya yang ditampilkan. Jika usianya masih muda, untuk melahirkan sebuah karya yang mengesankan tentang proses menua akan kelihatan superfisial. Hal ini kerana setiap yang terlahir daripada minda pengkarya bertaut rapat dengan pengalaman. Ibarat seorang remaja yang menulis tentang perasaan seorang ibu, penjiwaannya tidak akan tertitip secara kukuh. Dalam konteks sajak ini, pengolahannya sederhana dan mudah difahami. Tidak terkesan unsur yang mampu memperlihatkannya sebagai sebuah sajak yang mengangkat tentang perjuangan mendepani transisi usia serta transformasi suasana.
Sedang Menua
Saat kematangan menjengah usia muda
kudrat yang ada kukerah semuanya
dek godaan mimpi yang samar
angan demi angan dibina
dalam ilusi tatkala remaja.
Masa, sifatnya berlalu
siang begitu singkat
bersama rutin dunia tiada hentinya
dan sang malam menjelma seperti teman lama
yang datang menyapa dan menemani
kesibukan dalam kesunyian
mengejar bayang keselesaan yang dicari.
Hari berganti hari
dan aku sedang menua
garis kedutan perlahan-lahan melakar
kelincahan juga beransur-ansur pudar
sakit manja menjentik-jentik raga
gurauan emosi mengasak jiwa.
Kukutip ranting semangat yang patah
demi dahan harapan yang masih utuh
gelora yang hadir membadai
kuhadapi jua walau hanya sepasang tangan
mendayung perahu kehidupan
menuju ke titik pengakhiran.
Secara keseluruhannya, karya yang tersiar menampilkan wajah sesebuah sajak, namun masih ada ruang untuk melakukan pemurnian serta penambahbaikan. Seperti yang difahami, menukil sesebuah karya seperti sajak bukan bermaksud meluahkan setiap apa-apa jua pengalaman yang dilalui serta dialami. Berkarya menuntut kefahaman tentang, bukan sahaja ciri sesuatu genre, akan tetapi lebih daripada itu, obligasi untuk menampilkan keindahan melalui sulaman kata-kata yang membentuk hamparan frasa dan ayat, di samping menerap nilai kebaikan dalam bentuk pemikiran yang positif serta falsafah yang berguna. Seorang pengkarya perlu arif berfikir serta bijak berkarya.
Tahniah kepada ketiga-tiga pengkarya. Teruslah berkarya di samping menambah ilmu pengetahuan tentang ilmu pengkaryaan serta memperhebat penguasaan bahasa Melayu. Jadikan kamus teman sejati ketika berkarya.
Salam bahasa, sastera dan budaya. Bahasa nadi bangsa.